Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: "Bagaimana pengundi mahu keluar menunaikan hak mereka jika pilihan raya dibuat pada musim tengkujuh yang menyebabkan banjir," kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

Oleh itu katanya, kerajaan negeri Pulau Pinang mengulangi pendirian untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan dalam tempoh terdekat.

Katanya, tindakan membubarkan DUN menuruti pembubaran Parlimen oleh Kerajaan Persekutuan untuk memberi laluan kepada PRU pada musim banjir adalah sebagai berisiko tinggi.

"Kalau musim monsun kita mungkin tidak ikut Parlimen (untuk membubarkan DUN) sebab terlalu berisiko tinggi.

"Kalau bukan musim monsun itu lain cerita," katanya pada sidang media Pertandingan Makanan Jalanan LovePenang di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) hari ini.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Monsun Timur Laut signifikan dengan kejadian hujan lebat dan banjir besar terutama di negeri pantai timur, dengan Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan lebat monsun bermula November hingga Disember 2022.

Kon Yeow berkata, namun jika pembubaran Parlimen dilakukan ketika tempoh penggal hampir tamat kerajaan negeri tiada masalah mengikut jejak langkah Kerajaan Persekutuan untuk membubarkan DUN.

Beliau yang juga Pengerusi DAP negeri berpandangan kempen dan pengundian PRU-15 tidak sesuai diadakan pada musim tengkujuh mengambil kira isu logistik dan situasi yang dihadapi pengundi.

"Apa yang jadi jika banjir berlaku pada hari mengundi atau malam sebelumnya, pada hari kempen kita faham akan ada beberapa hari untuk berkempen.

"Bagaimana pengundi mahu menjalankan hak dalam keadaan mereka berdepan situasi antara hidup dan mati apabila rumah mereka ditenggelami air?

"Kita lihat sekolah, dewan komuniti dilanda banjir dalam tempoh sebelum ini. Semua itu pusat undi jadi bagaimana pengundi boleh keluar mengundi," katanya.

Beliau mempersoalkan adakah pilihan raya akan menjadi bermakna jika peratusan mengundi terlalu rendah apabila rakyat menghadapi kekangan untuk keluar mengundi dan Kerajaan Persekutuan perlu mempertimbangkan suara-suara yang menolak PRU-15 diadakan dalam situasi itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2022 @ 3:44 PM