Siti Aminah Mohd Yusof

Georgetown: Kerajaan negeri ini menyatakan kesediaan untuk bertemu Kumpulan Bekas Penjawat Awam Kanan (G25) yang menggesa supaya Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) dibatalkan kerana bertentangan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri bersedia mengadakan sesi libat urus dengan G25 dalam meningkatkan kefahaman kumpulan tersebut terhadap PSI yang sebelum ini dikenali sebagai Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR).

"Ia (bantahan) bukan perkara baharu buat kami, ramai membantah tanpa mengetahui butiran penuh projek berkenaan dan proses panjang yang dilalui membabitkan pelbagai agensi teknikal.

"Jadi kami sangat terbuka jika G25 mahu mengadakan pertemuan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Taman Armenian di sini, hari ini.

Semalam, G25 dalam satu kenyataan berkata, projek PSI bukan sahaja akan menjejaskan pantai Pulau Pinang malah membabitkan perairan Kedah dan Perak.

Kumpulan itu turut menggesa kerajaan negeri menghormati hak nelayan untuk melindungi punca pendapatan mereka dengan kerja-kerja penambakan dikhuatiri menyebabkan pencemaran serta memusnahkan ekosistem dan biodiversiti laut.

Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan terus berhubung dengan pihak berkepentingan termasuk pihak berkuasa pada peringkat Persekutuan berhubung kesan projek berkenaan terhadap ekologi dan alam sekitar apabila ia dilaksanakan kelak.

"Jika kumpulan G25 meminta untuk diadakan sesi taklimat kami juga boleh membabitkan mereka.

"Jadi mereka dapat memahami apa yang kami cadangkan untuk mengurangkan impak ekologi, alam sekitar dan lain-lain apabila projek itu dijalankan.

"Minggu lalu, kami mengadakan pembentangan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (Datuk Seri Mohamad Sabu) kerana ia membabitkan sektor perikanan dan pengeluaran makanan laut," katanya.

Kon Yeow turut memberi jaminan bahawa segala impak alam sekitar dan ekologi akan ditangani dengan penyelesaian yang sewajarnya sekiranya projek itu mendapat kelulusan pihak berwajib.

Projek tambakan bernilai RM10 bilion itu meliputi 17 kilometer persegi merangkumi pembangunan tiga pulau buatan manusia di kawasan Selatan Pulau Pinang.

Projek yang diperkenalkan pada 2015 itu merupakan modul pembiayaan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion.

PSI ditentang oleh banyak pihak antaranya Persatuan Nelayan Pulau Pinang (Pen Mutiara) dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) alam sekitar.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow. FOTO MIKAIL ONG
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow. FOTO MIKAIL ONG

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Februari 2023 @ 4:17 PM