GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Rozaimy Ridzuan

Malaysia adalah antara negara yang berhadapan dengan bencana alam yang semakin teruk akibat perubahan iklim yang ketara sejak kebelakangan ini. Antara 1998 dan 2018, negara mengalami kira-kira 51 bencana besar dan mencatatkan angka kematian 281 orang dengan jumlah kerosakan dianggarkan RM8 bilion.

Dekad kebelakangan ini juga menyaksikan berlakunya peningkatan terhadap risiko bahaya bencana hidrometeorologi terutama banjir.

Banjir yang berlaku antara 2021 dan 2022 adalah antara peristiwa banjir besar dalam sejarah Malaysia sehingga mengakibatkan 54 orang terbunuh dan mencatatkan jumlah kerugian sebanyak RM6.1 bilion.

Di Malaysia, banjir kebiasaannya melanda negeri di pantai timur pada penghujung dan awal tahun. Walaupun kejadian banjir sudah dijangka, ada juga tempat yang sebelum ini dirasakan selamat turut dilanda banjir. Sejak 7 November 2022 lalu, beberapa episod banjir melanda di beberapa negeri di Malaysia seperti Terengganu, Perak, Kelantan, Pahang dan Johor. Terengganu dan Kelantan merekodkan peningkatan jumlah mangsa banjir teramai. Seperti kebiasannya, agensi kerajaan seperti polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikerahkan untuk membantu menyelamatkan mangsa banjir.

Bencana banjir baru-baru ini sedikit sebanyak menyaksikan tahap kesiapsiagaan rakyat menghadapi banjir masih pada tahap membimbangkan. Kesiapsiagaan juga merangkumi kesediaan masyarakat untuk mengikut arahan daripada pihak berkuasa apabila diarahkan untuk berpindah bagi menyelamatkan diri. Namun, media melaporkan masih terdapat mangsa banjir yang enggan berpindah seperti diarahkan sehingga memerlukan anggota penyelamat memujuk mangsa untuk berbuat sedemikian. Ada yang beranggapan kedudukan rumah yang tinggi tidak terdedah kepada banjir menyebabkan mereka enggan berpindah bagi menyelamatkan diri. Ada juga yang sibuk menyelamatkan harta benda sehingga lupa keperluan untuk menyelamatkan diri sendiri dan orang yang perlu dibantu seperti golongan OKU, warga emas dan kanak-kanak.

Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan banjir berlaku. Sistem perparitan dan saliran yang tidak dinaik taraf dan diselenggara dengan baik menjadi salah satu punca berlaku banjir. Sistem perparitan dan longkang dibina di kawasan perumahan didapati tidak bersambung dengan parit besar yang sepatutnya akan membawa air masuk ke dalam sungai. Sikap sebilangan masyarakat yang membuang sampah sarap bukan pada tempatnya menghalang air masuk ke saliran. Selain itu, terdapat kejadian apabila benteng yang dibina pecah disebabkan arus deras akibat banjir. Situasi yang berlaku di Tumpat, Kelantan itu memburukkan lagi keadaan banjir di sana kerana benteng pecah itu telah menyebabkan air dari Sungai Golok melimpah dan membanjiri daerah berkenaan.

Kekurangan aset seperti yang berlaku di Besut, Terengganu juga mengganggu kelancaran operasi menyelamat penduduk yang terjejas. Daripada segi logistik, jumlah lori dan bot yang ada tidak mencukupi dan ia menyukarkan anggota penyelamat untuk memindahkan mangsa banjir terutama apabila perlu mengharungi arus deras.

Segala apa yang diterangkan tadi memburukkan lagi keadaan sehinggakan ramai penduduk terpaksa berputih mata melihatkan rumah mereka rosak teruk akibat banjir. Selain itu, bangunan kerajaan terutama hospital turut ditenggelami air. Di Kelantan, dua hospital terjejas akibat banjir iaitu Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II dan Hospital Tengku Anis (HTA), Pasir Puteh.

Selain itu, sebilangan pesakit di hospital terpaksa dipindahkan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Kini, ramai penduduk mula membersihkan rumah selepas teruk ditenggelami banjir. Namun, penduduk terutama yang tinggal di kawasan pantai timur masih lagi perlu berwaspada kerana kemungkinan banjir berlaku lagi kerana biasanya Monsun Timur Laut (MTL) yang membawa angin kencang dan taburan hujan lebat sehingga berlaku banjir itu biasanya bermula November dan dijangka berakhir Mac setiap tahun. Pada tahun lalu misalnya, banjir di pantai timur juga berlaku pada penghujung musim Monsun Timur Laut sehinggakan ramai juga yang tidak menyangka perkara itu berlaku.

Perubahan sifat dan ciri-ciri bencana alam sejak beberapa tahun kebelakangan ini memerlukan pendekatan yang teguh dan konkrit bagi membolehkan kerajaan dan masyarakat bersiap siaga menghadapinya. Pendekatan itu merangkumi pemahaman luas tentang bahaya, risiko, kelemahan dan mekanisme yang umumnya ditangani di bawah skop kesiapsiagaan bencana yang lebih luas. Pasukan penyelamat dan anggota masyarakat perlu diberikan latihan dan kesedaran yang meluas berkaitan kesiapsiagaan menghadapi bencana terutama banjir. Penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan mudah dinaiki air dinasihatkan tidak berlengah untuk berpindah sekiranya kawasan perumahan mereka mula ditenggelami air.

Kerajaan perlu memberikan fokus yang lebih terhadap projek tebatan banjir yang biasanya memerlukan kos yang besar. Keutamaan perlu diberikan kepada projek naik taraf sistem perparitan, sungai dan benteng penahan banjir. Projek ini tidak boleh dilengahkan kerana sekiranya kerajaan lambat bertindak, banjir akan memusnahkan harta benda orang awam dan kerajaan juga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar bagi membantu orang awam bangkit meneruskan kehidupan. Aset kerajaan seperti bot penyelamat perlu ditambah agar ia dapat membantu anggota penyelamat menyelamatkan mangsa banjir.


Penulis Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 7:02 AM