MUHAMMAD Sanusi, gambar fail. FOTO NSTP
MUHAMMAD Sanusi, gambar fail. FOTO NSTP
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Banjir yang kerap berlaku di daerah ini dan Pendang dipercayai berpunca daripada projek rancangan tebatan banjir (RTB) yang belum siap sejak dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9).

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, proses pengambilan tanah bagi menyiapkan projek tebatan banjir khususnya di Pendang masih dilakukan dan berharap ia lancar mengikut jadual.

"Projek tebatan banjir yang belum siap lagi di Pendang dan Anak Bukit, bermula dari RMK9 namun tak siap sampai sekarang. Saya harap bila semua projek siap, akan dapat kurangkan kawasan terjejas banjir.

"Kita ada buat pengambilan balik tanah, kelulusan pengambilan itu mengikut Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 (Pindaan) untuk projek tebatan banjir membabitkan beberapa lot tanah," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, projek tebatan banjir tidak akan dapat mengekang banjir sepenuhnya kerana ia turut dipengaruhi faktor lain, antaranya pengaliran air, hujan lebat berterusan dan sistem saliran dan pengairan.

"Contoh di Pendang kita ada isu banjir termenung, air banjir itu termenung tak tahu nak pergi ke mana, kena tunggu diserap oleh tanah, sebabnya aliran tak berapa elok.

"Saya percaya selepas siapnya projek tebatan banjir di situ, air banjir tak termenung lagi," katanya.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, kesemua sistem saliran di sungai utama di negeri ini berada dalam keadaan yang memuaskan.

"Kalau musim hujan memanglah akan banjir juga cuma sekarang ini pergerakan air dari kawasan hulu sedang turun menuju ke laut dari Padang Terap melalui Pokok Sena dan akan pergi ke Kuala Kedah sebelum sampai ke muara," katanya.

Katanya, kerajaan negeri juga akan menyalurkan bantuan berupa pek makanan kepada mangsa banjir di daerah terjejas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 7:20 PM