Penduduk kampung mula keluar untuk menjala ikan di sungai golok di Kampung Lanchang.
Penduduk kampung mula keluar untuk menjala ikan di sungai golok di Kampung Lanchang.
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Projek tebatan banjir yang sedang dilaksanakan di Sungai Golok berjaya menangani masalah banjir di Tumpat.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri Wan Roslan Wan Hamat berkata, projek berkenaan juga dapat menyelamatkan beberapa kampung di Tumpat daripada dilanda banjir.

Katanya, perkara itu memberi kelegaan kepada kira-kira 10,000 penduduk di daerah itu terutama di 23 kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Pengkalan Kubor.

"Kita bersyukur kerana kebiasaannya, Tumpat sentiasa dilanda banjir terutama Dun Pengkalan Kubor yang terkenal dengan banjir. Jadi tahun ini ia (banjir) berkurangan.

"Air ada cuma tidak sampai ke tahap penduduk perlu berpindah. Salah satu faktornya adalah hujan yang turun itu berkurangan.

"Kedua, projek tebatan banjir yang dalam pelaksanaan dan kita bersyukur kerana selepas sekian lama rakyat Tumpat dan Pengkalan Kubor menunggu projek daripada Kerajaan Pusat untuk meninggikan tebing atau kawasan sempadan Malaysia dengan Thailand sekali gus dapat menangani banjir," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyambut ketibaan pengayuh basikal warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood, 75, di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Roslan berkata, projek tebatan banjir berkenaan dibina dari Tumpat hingga ke Jeli yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Projek tebatan banjir perlu kerana ia akan dapat menangani banjir di Kelantan pada masa akan datang termasuk Rantau Panjang dan Pasir Mas," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, usaha menangani masalah banjir Sungai Golok melalui fasa satu Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok membabitkan kos RM656 juta, dijangka siap pada suku ketiga 2024.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 4:35 PM