HISHAM Mohammad (tengah) ketika beramah mesra bersama pelatih di Perkarangan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK). FOTO Farizul Hafiz Awang
HISHAM Mohammad (tengah) ketika beramah mesra bersama pelatih di Perkarangan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK). FOTO Farizul Hafiz Awang
Asrol Awang


Kuantan: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menerima lima jentera mencari dan menyelamat bandar (USAR) bernilai RM7.5 juta bermula tahun depan hingga 2024.

Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, jentera USAR bernilai RM1.5 juta sebuah itu bagi memperkasakan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM).

"Lima jentera USAR itu akan diterima secara berperingkat. Ia dipasang di Malaysia dan bagi prototaip pertama, kita akan lihat kelengkapan yang dibekalkan sama ada sesuai atau sebaliknya.

"Ia perlu dilengkapi dengan peralatan seperti kamera mikro, alat pemotong selain peralatan gerudi yang tidak memerlukan penggunaan janakuasa ketika menjalankan operasi.

"Anggota STORM akan menjalani latihan bersama jentera USAR pada 2025," katanya pada sidang media selepas majlis penutupan Kursus Survival Storm Siri 1/2022 di sini, hari ini.

Penutup majlis itu disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Razali Kassim dan ia turut dihadiri Pengarah JBPM Pahang Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Seramai 47 anggota STORM, termasuk lima wanita, menyertai kursus berkenaan yang bermula pada 25 September lalu.

Nor Hisham berkata, setakat ini, JBPM mempunyai 459 anggota STORM di seluruh negara.

Katanya, antara kepakaran yang diterapkan kepada setiap anggota pasukan STORM adalah kemahiran dalam mengendalikan operasi menyelamat di kawasan bandar.

"Selain itu, ia membabitkan operasi seperti menyelamat di bangunan tinggi, mencari dan menyelamat di kawasan yang luas seperti hutan dan gunung serta kebakaran hutan," katanya.

Mengulas berkaitan kursus itu, beliau berkata, 47 anggota didedahkan dengan modul ikhtiar hidup di hutan pada minggu pertama dan pada minggu kedua pula, anggota akan mempelajari modul ikhtiar hidup di paya.

Katanya, objektif utama kursus itu ialah untuk melatih, menguji dan memberi pengalaman secara langsung kepada anggota bagi membiasakan diri terhadap persekitaran yang mencabar ketika menjalankan operasi mencari dan menyelamat dalam tempoh masa yang panjang dengan bekalan logistik serta kemudahan yang terhad.

"Selain itu, kursus ini juga bertujuan meningkatkan jati diri serta ketahanan mental dan fizikal kepada setiap anggota supaya mampu untuk bekerja di luar dan melebihi keupayaan anggota yang bertugas di balai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Oktober 2022 @ 1:36 PM