EMPAT tahun berkhidmat dalam pasukan Storm.
EMPAT tahun berkhidmat dalam pasukan Storm.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


MENGAGUMKAN dan luar biasa! Ayat ini pantas terdetik di hati penulis sebaik mendengar perkongsian pengalaman daripada Pegawai Bomba Wanita Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur, Norazizah Nordin ini.

Norazizah, 28, bukan calang-calang individu kerana beliau adalah seorang daripada lima pegawai bomba wanita di Malaysia yang terpilih berkhidmat dalam Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ini kerana pasukan itu didominasi ramai pegawai dan anggota bomba lelaki.

Pasukan Storm JBPM menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang membabitkan bencana berskala besar seperti tanah runtuh, runtuhan bangunan, dalam hutan dan sebagainya.

Sudah tentu latihan yang dijalani pasukan itu sangat mencabar dan menguji kekuatan mental serta fizikal sebelum mereka layak memakai uniform celoreng bomba bersama lencana Storm.

Namun, Norazizah berjaya melepasi kepayahan itu dan membuktikan wanita boleh menyaingi kehebatan lelaki sekiranya mempunyai iltizam serta semangat yang jitu.

Katanya, menjadi pasukan Storm memberi kelebihan kepada dirinya apabila diberikan kepercayaan terbabit 20 operasi SAR berskala besar walaupun baru empat tahun berkhidmat dalam JBPM.

"Terbaharu, saya menyertai operasi SAR tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, Batang Kali, Selangor yang mengorbankan 31 nyawa pada Disember tahun lalu.

"Saya ditugaskan di lokasi tragedi selama seminggu sehingga mayat mangsa terakhir iaitu empat beranak ditemui.

"Setakat ini, operasi berkenaan adalah pengalaman paling menarik dan sukar dilupakan kerana tugas dilakukan bersama 'mainan' emosi," katanya.

Dia yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah berkata, kerjaya sebagai pegawai bomba menjadikannya wanita berhati kental selain mampu mengatasi kesedihan dalam operasi SAR yang membabitkan nyawa.

Menurutnya, tetapi keadaan menjadi sebaliknya yang mana hati kentalnya bertukar menjadi rapuh. Air mata hampir menitis apabila melihat mangsa empat beranak ditemui berpelukan dalam satu khemah di bawah timbunan tanah pada kedalaman tujuh meter.

"Ia sangat menyayat hati kerana berdasarkan cara pelukan mangsa lelaki dewasa, memperlihatkan seperti sedang melindungi isteri dan anak-anaknya.

"Tidak dapat dibayangkan ketakutan dan kesakitan dialami mangsa sebelum meninggal dunia," katanya.

Norazizah berkata, pada hari kedua menyertai operasi, beliau bersama pasukan menjumpai mayat dua beranak berpelukan.

"Sebagai manusia biasa, saya tidak dapat mengelak dengan mainan emosi, tetapi perlu bijak mengawalnya supaya tugas terganggu.

"Walaupun bertugas dalam kepenatan dan tidak cukup tidur, tetapi semangat untuk membantu SAR mangsa dapat melenyapkan rasa itu.

"Saya sangat lega dan gembira kerana operasi itu berjaya menjumpai semua mayat mangsa terkorban.

"Hingga hari ini, kenangan di Batang Kali masih bermain dalam ingatan dan berharap keluarga mangsa dapat berdamai dengan takdir," katanya.

Menurutnya, mengenai pencapaian peribadi kerjayanya setakat ini ialah memenangi pertandingan Kawad Kecekapan JBPM Peringkat Kebangsaan 'Brave Heart Challenge' Kategori Wanita pada tahun lalu.

Katanya lagi, pertandingan itu diadakan untuk menguji stamina, kecergasan dan ketahanan anggota bomba.

"Untuk kategori ini, peserta perlu menyempurnakan setiap ujian dalam tempoh paling pantas.

"Peserta bukan sahaja perlu memakai pakaian pelindung pemadam kebakaran selain berlari memanjat tangga bangunan tiga tingkat dalam masa lima minit dengan membawa lengkap peralatan seberat 40 kilogram (kg)," katanya.

Ditanya rahsia mengekalkan kecergasan, Norazizah berkata, beliau tidak mempunyai tip tertentu dan hanya mengamalkan rutin joging sekurang-kurangnya tiga kilometer setiap hari untuk mengekalkan momentum larian.

"Selain itu, turut melakukan senaman ringan di gimnasium di balai pada setiap pagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Jun 2023 @ 7:00 AM