SERAMAI 26 anggota STORM menamatkan latihan lima hari di Pusat Pembelajaran Awam (CLC) di JBPM Jalan Hang Tuah.
SERAMAI 26 anggota STORM menamatkan latihan lima hari di Pusat Pembelajaran Awam (CLC) di JBPM Jalan Hang Tuah.
Mohd Azam Shah Yaacob

Kuala Lumpur: Setanding kehebatan pasukan penyelamat di Eropah dan Amerika Syarikat. Itu pujian diberikan Penasihat Serantau Atase Perlindungan Sivil Kedutaan Perancis, Brigadier Jeneral Eric Peuch berhubung kesiapsiagaan serta keupayaan anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi dan Penyelamat (STORM) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam menghadapi bencana besar.

Peuch bersama dua wakil Unit Penyelamat dari Perancis, Kapten Serge Piacentini serta Sarjan Kevin Mamet didatangkan khas bagi melatih 26 anggota pasukan STORM dalam kursus mencari dan menyelamat ‘urban search and rescue course’ selama lima hari di Pusat Pembelajaran Awam (CLC) JBPM Jalan Hang Tuah di sini, bermula Isnin lalu hingga semalam.

Peuch berkata, pujian itu diberikan berdasarkan penilaian sepanjang latihan selain semua anggota STORM menunjukkan kecekapan selain mempunyai pengetahuan dalam modul diajar.

“Latihan lima hari ini membabitkan situasi mencari serta menyelamat ketika bencana membabitkan bangunan runtuh dan kebakaran struktur besar.

“Namun, satu perkara yang saya dapat lihat, setiap anggota sudah ada pengetahuan selain mampu menjalankan latihan dengan cekap,” katanya.

Menurutnya, pihak penyelamat Perancis teruja menjalinkan kerjasama dengan JBPM dalam situasi bencana yang pelbagai.

“Saya percaya melalui kerjasama latihan itu nanti, anggota penyelamat di Malaysia akan lebih bersedia dalam situasi yang tidak terduga biarpun baru pertama kali berlaku,” katanya.

Sementara itu, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Malaysia Mohammad Hamdan Wahid berkata, pihaknya akan menjalinkan kerjasama berterusan dengan Atase Perlindungan Sivil Kedutaan Perancis bagi memantapkan lagi pasukan STORM khususnya dalam aspek menyelamat dalam situasi bencana berbeza.

Katanya, antara situasi dibincangkan termasuklah latihan mencari dan menyelamat ketika banjir besar selain dalam situasi serangan pengganas.

“Latihan kepakaran di bawah seliaan Perancis ini adalah langkah tepat kerana mereka sudah mempunyai pengalaman luas dalam operasi membabitkan situasi bencana besar termasuk ketika serangan pengganas.

“Kerana itu, kami sudah mula merangka modul latihan baru menerusi seliaan mereka (Perancis) tahun hadapan,” katanya.

Dalam latihan selama lima hari itu, 26 anggota STORM didedahkan dengan latihan ‘rope and ladder’ bagi operasi mencari serta menyelamat berdasarkan dua situasi iaitu kebakaran dan runtuhan bangunan.

Semua anggota itu mewakili pasukan STORM di setiap negeri yang dipilih berdasarkan ujian terlebih dulu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 5:20 AM