PESERTA Kursus Survival STORM 2018 bergambar selepas tamat menjalani latihan survival selama 10 hari di Pantai Remis dan Kuala Gula, hari ini. Foto SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI.
PESERTA Kursus Survival STORM 2018 bergambar selepas tamat menjalani latihan survival selama 10 hari di Pantai Remis dan Kuala Gula, hari ini. Foto SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


“DALAM keadaan darurat sepanjang latihan, kami makan apa saja, ular sawa, serangga, paku pakis, umbut pokok dan buah hutan menjadi makanan utama kami selama 10 hari di dalam hutan,” kata Penolong Kanan Penguasa Bomba, Shuib Idris.

Shuib, 43, adalah Peserta Keseluruhan Terbaik Kursus Survival Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) 2018 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang melabuhkan tirainya, hari ini.

Shuib yang juga Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seri Manjung, berkata seramai 38 anggota STORM dari seluruh negara menjalani kursus survival selama 10 hari di Pantai Remis dan Kuala Gula bermula 9 November lalu.

“Sepanjang kursus survival ini, kami ditempatkan di kawasan hutan di Ladang Alaga, Pantai Remis dan kawasan paya bakau Kuala Gula sehelai sepinggang dan hanya dibekalkan sebilah parang dan lampu suluh.

“Kami diberikan latihan khas untuk ikhtiar hidup dan terpaksa makan apa sahaja sumber yang ditemui hingga ke tahap darurat, makan apa sahaja haiwan termasuk ular untuk kelangsungan hidup.

“Kawasan paya bakau adalah kawasan paling menguji ketahanan diri, selain perlu mempelajari kaedah menyelamat mangsa yang terperangkap di dalam lumpur, kami diuji dengan kesukaran mendapat air bersih kerana dikelilingi air masin,” katanya yang ditemui selepas majlis tamat latihan STORM di Bagan Serai, hari ini.

Penutupan kursus survival STORM JBPM itu disempurnakan Orang Besar Jajahan Kerian, Toh Maharaja Indera, Datuk Khairuddin Arshad.

Selain Shuib, dua lagi peserta iaitu Nimrod Juanito, 23, dari BBP Pontian Johor terpilih sebagai peserta Terbaik Survival di Paya, manakala Emparan Anak Iri, 28, dari BBP Bandar Penawar Johor dipilih sebagai Peserta Terbaik Survival di Hutan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah JBPM Perak Sayani Saidon berkata, kursus STORM berkenaan adalah kursus kelangsungan hidup yang turut dilalui skuad elit komando dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di mana bidang tugasnya jauh lebih besar dan mencabar.

“Di Malaysia terdapat 430 anggota STORM di mana 38 daripadanya ditempatkan di Perak termasuk dua Pegawai Penasihat dan lapan Pegawai Kanan,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 November 2018 @ 4:40 PM