HANYA anggota MUST layak bertugas dalam pesawat.
HANYA anggota MUST layak bertugas dalam pesawat.
Mohd Sharumnisham Shahbudin


Beberapa kejadian bencana alam baru-baru ini seperti kebakaran puncak Gunung Baling, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang tersesat dalam Hutan Simpan Ulu Muda, Sik, mempamerkan kecekapan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah melaksanakan misi dan tanggungjawab diamanahkan.

Semua kelengkapan dan jentera digerakkan sepenuhnya termasuk helikopter Augusta milik Unit Udara JBPM.

Ramai menyangka mereka yang bertugas bersama Unit Udara JBPM anggota biasa yang sering dilihat membantu memadamkan kebakaran. Namun, sebenarnya mereka anggota unit elit dikenali sebagai Multi Skill Team atau singkatannya MUST.

Pegawai Cawangan Pengurusan Pasukan Khas, Bahagian Operasi Kebombaan JBPM Kedah Noorhamidi Ali berkata, MUST diwujudkan pada 11 September 1998 serentak dengan penubuhan Unit Udaranya.

Setiap negeri mempunyai Unit MUST sendiri dan di Kedah ada 20 anggota.

“Tidak semua anggota mampu mencapai kelayakan menganggotai skuad MUST kerana ada kemahiran perlu dikuasai termasuk ikhtiar hidup dan teknik ‘abseiling’, ‘fast roping’ atau ‘winching’ sebelum ditauliahkan menyertai unit khas ini.

“Hanya anggota MUST layak bertugas dalam pesawat dan sehingga kini ada hampir 800 anggota pasukan berkenaan di seluruh negara. Di samping itu, mereka ada kepakaran dalam operasi mencari dan menyelamat di hutan mahupun kawasan paya,” katanya.

Menurutnya, anggota unit elit berkenaan juga perlu diturunkan terlebih dahulu dari helikopter menggunakan tali bagi membersihkan kawasan hutan untuk menyediakan tapak pendaratan pesawat berkenaan.

“Di luar tugas khas, mereka tetap menjalani rutin tugas seperti anggota bomba biasa di balai seluruh negeri dan akan dikumpulkan jika berlaku kes yang memerlukan kepakaran MUST,” katanya.

Bagi memantapkan pasukan, latihan pengukuhan diadakan setiap tahun dan terkini, Unit MUST Kedah menjalani latihan ‘Combat Rescue Medic’ di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) di Tronoh, Perak dengan kerjasama Pasukan Khas Tentera Udara Diraja Malaysia (PASKAU).

Ada juga anggota MUST diserapkan ke dalam skuad khas lain seperti HAZMAT dan Pasukan Penyelamat Dalam Air (PPDA) bagi mempertingkatkan kemahiran dan kerjaya mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2016 @ 5:08 AM