HASNI Mohammad. Foto BERNAMA
HASNI Mohammad. Foto BERNAMA
Mohamed Farid Noh


Pontian: Barisan Nasional (BN) Johor sekali lagi menegaskan ia tetap berpegang dengan keputusan parti untuk bergerak secara solo pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, berkata BN Johor menyokong penuh ketetapan pucuk pimpinan bahawa gabungan itu tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti lain di luar BN.

"Ya, seperti diputuskan BN dan Umno bahawa kita akan tetap bergerak solo untuk PRU-15 nanti.

"Pucuk pimpinan juga sudah buat keputusan bahawa kerjasama parti yang bertanding dalam PRU-15 termasuklah Pas, Bersatu atau mana-mana parti, hanya akan dibuat selepas keputusan pilihan raya selesai nanti.

"Saya rasa kita dah buat keputusan. BN dan Umno Johor bersetuju dan berpegang kepada keputusan itu iaitu kita hanya akan memikirkan apa saja bentuk kerjasama selepas keputusan PRU-15 selesai nanti.

"Selepas itu barulah keperluan atau hasrat menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak dibuat nanti," katanya pada sidang media selepas menutup Program Benut Fun Walk, Hari Tanpa Kenderaan, di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (Dun) Benut, di sini, hari ini.

Kelmarin, media melaporkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) disaran menutup pintu rundingan dengan Pas berkaitan hala tuju 27 kerusi Parlimen yang didakwa kritikal untuk menghadapi PRU-15.

Ketua Bahagian Umno Besut, Datuk Nawi Mohamad, dilaporkan berkata MKT perlu akur dengan kehendak ahli di peringkat akar umbi yang memutuskan agar tiada sebarang kerjasama dengan parti itu pada PRU akan datang.

Dalam pada itu, Hasni yang juga Pengerusi Umno Johor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut menafikan berlakunya perbalahan dan perbezaan pendapat antara Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi BN dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Malah beliau menyifatkan, naratif dan cerita mengenai pergeseran dua pemimpin utama parti itu sebagai direka dan diadakan-adakan sesetengah pihak.

"Saya sebagai Pengerusi Perhubungan Umno negeri berpendapat tiada isu berkenaan siapa poster boy BN dalam kita hadapi PRU-15.

"Kita tak rasa ada masalah antara Presiden parti dan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO seperti diuar-uarkan pihak lain.

"Ada pihak pula mendakwa tindakan akan diambil terhadap Perdana Menteri jika PRU-15 tidak segera diadakan. Ini hanya sekadar khabar angin dan cerita yang direka sesetengah pihak.

"Presiden Umno hanya nyatakan PRU-15 perlu dipercepatkan sahaja dan keputusan penetapan tarikah diserahkan kepada Perdana Menteri," katanya.

Beliau juga percaya bahawa pemimpin dan penyokong parti tidak akan melakukan sesuatu yang akhirnya akan merugikan parti.

"Di mana logiknya jika kita nak menuntut supaya PRU-15 disegerakan dalam masa yg sama kita buat tindakan melemahkan parti

Saya tidak fikir itu adalah tindak tanduk pemimpin yang bertanggungjawab," katanya.

Hasni juga berpendapat, Badan Perhubungan Umno negeri tidak perlu mendesak dan menuntut bila tarikh PRU-15 perlu diadakan, namun sebaliknya terus memantap dan memperkasakan jentera parti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 3:06 PM