HASNI Mohammad ketika ditemui pengamal media selepas menghadiri Program Benut Fun Walk Hari tanpa Kenderaan di Sekolah Kebangsaan Sri Benut hari ini. FOTO Bernama
HASNI Mohammad ketika ditemui pengamal media selepas menghadiri Program Benut Fun Walk Hari tanpa Kenderaan di Sekolah Kebangsaan Sri Benut hari ini. FOTO Bernama
Mohamed Farid Noh


Pontian: Barisan Nasional (BN) Johor sudah menerima senarai nama calon yang bakal bertanding di Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad, berkata senarai nama calon itu diserahkan setiap bahagian menerusi parti komponen UMNO, MCA dan MIC.

Bagaimanapun katanya, dalam masa yang sama masih terdapat bahagian yang belum mengemukakan senarai calon mereka kerana perlu melalui proses perbincangan teliti bagi mengenalpasti sebelum menyenaraikan calon mereka.

"Apabila kesemua 26 Bahagian telah menghantar nama calon, BN Johor akan menyenarai pendek nama- nama calon itu berdasarkan kriteria ditetapkan untuk diserahkan kepada pucuk pimpinan.

"Calon yang dipilih itu perlu seimbang di mana BN Johor akan meletakkan calon muka baru, anak muda, golongan profesional dan wanita. Namun kita akan tampilkan calon yang boleh menang pada PRU-15 nanti seperti ditetapkan parti.

"Walaupun tarikh sebenar PRU-15 masih belum diketahui, namun semua kompenan di peringkat bahagian sudah diarahkan melengkapkan jentera pilihan raya mereka, selain mengadakan kursus-kursus seperti Jalinan Rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menutup Program Benut Fun Walk, Hari Tanpa Kenderaan, di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut di sini, hari ini.

Ditanya mengenai spekulasi nama besar yang bakal bertanding di luar kawasan masing-masing seperti Ketua Bahagian UMNO Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim yang mahu bertanding di Pagoh selain Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang didakwa mahu bertanding di Kota Tinggi, Hasni menyatakan akan membabitkan keputusan BN di peringkat Pusat.

"Itu saya kira adalah di pihak pucuk pimpinan tertinggi BN dan UMNO untuk bincangkan. Bukan keputusan kita di Johor.

"Setakat ini, semua itu hanyalah sekadar spekulasi dam khabar angin sahaja. Begitu juga dengan saya, ada juga dinyatakan saya akan bertanding di sana dan di sini, namun ia sekadar cakap-cakap politik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 September 2022 @ 12:42 PM