ORANG ramai mengambil kesempatan membeli barangan jualan murah di Program Jualan Murah 2022 Keluarga Malaysia DUN Pasir Pekan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
ORANG ramai mengambil kesempatan membeli barangan jualan murah di Program Jualan Murah 2022 Keluarga Malaysia DUN Pasir Pekan. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


Tumpat: Terpulang kepada rakyat sama ada ingin terus mengenakan pelitup muka atau tidak demi menjaga keselamatan diri masing-masing.

Reaksi itu diberikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob susulan pengumuman oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang tidak mewajibkan pemakaian pelitup muka di dalam bangunan sebaliknya diwajibkan bagi individu bergejala dan disahkan positif Covid-19.

Ahmad berkata, secara asasnya, syarat sudah diumumkan oleh Khairy, tapi pelaksanaannya di negeri ini terpulang kepada rakyat.

"Terpulang kepada masing-masing untuk menjaga diri sebab pada asasnya sudah diberitahu oleh Menteri Kesihatan.

"(Bagaimanapun), mereka yang berisiko dan masih ada simptom seperti selsema atau batuk sepatutnya pakai pelitup muka demi mengelakkan penularan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Khairy membuat pengumuman bahawa pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di dalam bangunan dan berkuat kuasa serta merta.

Bagaimanapun ia masih diwajibkan bagi individu bergejala dan disahkan positif Covid-19 namun pemilik premis boleh menentukan sama ada pengunjung wajib memakai pelitup muka atau boleh memilih untuk memakai pelitup muka.

Terdahulu Ahmad hadir merasmikan Program Jualan Murah 2022 Keluarga Malaysia (PJMKM) DUN Pasir Pekan di Taybah Mart di Kampung Paloh di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 2:35 PM