ORANG ramai masih mengamalkan pemakaian pelitup muka di tempat tertutup ketika tinjauan di Pasar Seni, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Genes Gulitah
ORANG ramai masih mengamalkan pemakaian pelitup muka di tempat tertutup ketika tinjauan di Pasar Seni, Kuala Lumpur, semalam. FOTO Genes Gulitah
Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Masih ramai individu memilih untuk terus memakai pelitup muka biarpun kerajaan mengumumkan ia tidak lagi diwajibkan di dalam premis dan kawasan tertutup, Rabu lalu.

Memandangkan pemakaian pelitup muka dalam bangunan dan kawasan tertutup kini adalah atas pilihan sendiri, ramai memberi pendapat bahawa sudah terbiasa memakainya sejak dua tahun lalu.

Tinjauan Harian Metro di pusat beli-belah dan beberapa lokasi tumpuan ramai mendapati kebanyakan pengunjung masih mengenakan pemakaian pelitup muka walaupun ia tidak lagi diwajibkan.

Bagi Haire Ahmad, 32, dia memilih untuk memakai pelitup muka kerana berada di kawasan yang sesak.

"Mulanya, saya tak pakai pelitup muka, tapi bila saya lihat semua orang memakainya, jadi saya berasa pelik.

"Pada saya, terpulang kepada diri sendiri sama ada mahu memakai pelitup muka atau tidak kerana kita yang lebih tahu keadaan sekeliling ketika itu.

"Jika indivitu terbabit rasa terbeban sebab perlu mengeluarkan kos membeli pelitup muka, mereka bebas membuat keputusan masing-masing.

"Saya pula memang sebelum ini sentiasa mengenakan pelitup muka sebab untuk elak pencemaran udara termasuk habuk," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, pengunjung, Wan Amirul Ashraf 20, berpendapat orang ramai seharusnya memakai pelitup muka ketika berada di tempat tumpuan kerana kes Covid-19 masih belum reda.

Katanya, walaupun sudah tidak diwajibkan, masyarakat perlu ada rasa tanggungjawab kerana lebih baik mencegah sebelum terkena jangkitan.

"Saya masih belajar dan ketika di kelas memang saya tetap pakai pelitup muka sebab ada yang saya lihat batuk tetapi tidak memakai pelitup muka.

"Bagi saya tidak rugi jika kita pakai pelitup muka, malah ia dapat mencegah daripada virus lain yang kita tak sedar ada di sekeliling kita," katanya yang berasal dari Seremban.

Bagi Aisyah Ezani, 23, pakai atau tidak itu bergantung terhadap kesedaran diri sendiri.

"Saya memilih untuk terus memakai pelitup muka sebab sekarang banyak peyakit berjangkit melalui udara dan bukan hanya Covid-19 tetapi jangkitan infleunza juga semakin meningkat sekarang.

"Tidak salah bagi mereka yang ambil keputusan tak mahu pakai dan begitu juga bagi mereka yang masih mengenakan pelitup muka.

"Kalau rasa ada kesedaran untuk menjaga kesihatan, lebih baik kita pakai," katanya.

Kakitangan swasta, Fatonah Ahmadunissah, 29, berkata, dia melihat masih ramai yang memakai pelitup muka walaupun sudah tidak diwajibkan.

"Pengumuman masih baru lagi, jadi saya lihat ramai juga tetap pakai pelitup muka.

"Saya sendiri juga rasa kekok jika tak pakai pelitup muka dan pandangan saya lebih baik pakai untuk keselamatan.

"Namun, jika berasa rimas kita boleh buka bila-bila masa, jadi sesuaikan ikut keadaan diri sendiri," katanya.

Pemakaian pelitup muka tidak lagi diwajibkan di dalam bangunan, namun masih diwajibkan bagi individu bergejala dan disahkan positif Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 2:07 PM