Ekhwan Haque Fazlul Haque


Petaling Jaya: Kerajaan tidak menghalang organisasi media untuk menyampaikan maklumat, namun kandungannya perlu tepat dan tidak dimanipulasi sehingga mengelirukan masyarakat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini tiada media arus perdana yang digantung lesen penerbitan, namun harus bertanggungjawab dalam memastikan berita yang disampaikan tepat.

"Kerajaan memberikan kebebasan kepada media untuk melaporkan berita asalkan ia tepat dan tidak mengelirukan masyarakat.

"Setakat ini tiada media arus perdana yang digantung lesen penerbitan, tetapi tetap dipantau agar tidak melanggar etika yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan kerja di Media Prima Berhad (MPB) di Sri Pentas, di sini.

Turut hadir, Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Rafiq Razali dan pengurusan kanan MPB dan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP).

ISMAIL Sabri Yaakob (kanan) ketika ditemu bual bersama penyampai radio Hot FM Fara Fauzana sempena lawatan ke Sri Pentas Media Prima hari ini. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri Yaakob (kanan) ketika ditemu bual bersama penyampai radio Hot FM Fara Fauzana sempena lawatan ke Sri Pentas Media Prima hari ini. FOTO Bernama

Terdahulu, Ismail Sabri mengadakan lawatan di konti radio dan bilik berita MPB.

Perdana Menteri juga ditemu bual bersama Hot FM dan 8FM bagi berkongsi sisi lain kehidupan selepas mengetuai pentadbiran negara.

Sementara itu, Syed Hussian berkata, pihaknya amat berbesar hati menerima kunjungan Perdana Menteri bagi mendapatkan gambaran jelas operasi bilik berita dan radio kendalian MPB.

Katanya, MPB akan meneruskan kerjasama dengan kerajaan untuk mewar-warkan berita tepat dan inisiatif yang dibuat kerajaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2022 @ 11:14 AM