Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Petaling Jaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedia menjalinkan kerjasama strategik dengan Media Prima Bhd (MPB) dalam memastikan usaha pencegahan rasuah disampaikan dengan lebih meluas ke seluruh masyarakat di negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, MPB mampu menjadi rakan strategik SPRM untuk menjayakan pelbagai program pencegahan dan pendidikan rasuah bagi memastikan kesedaran terhadap jenayah itu dipertingkatkan dalam kalangan masyarakat.

Menurutnya, SPRM juga bersedia untuk memberikan pelbagai input yang boleh digunakan MPB untuk digunakan dalam rangkaian media syarikat itu.

"Hari ini kami berkunjung ke MPB dan Alhamdulillah hasil perbincangan yang ada, kolabrasi kami boleh dikembangkan lagi. Usaha-usaha dalam tindakan pencegahan rasuah boleh dilakukan dan ditambah baik secara bersama.

"Saya juga bersetuju sekiranya SPRM dan MPB menjayakan usaha strategik termasuk menjadi rakan strategik SPRM bagi meluaskan mesej-mesej kepada masyarakat.

"Kami sedia memberikan input penting kepada MPB supaya langkah pencegahan rasuah dapat difahami serta bagaimana tindakan yang lebih berkesan dapat dilakukan," katanya selepas sesi lawatan korporat di Sri Pentas di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Kumpulan MPB Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid; Pengarah Kumpulan Pengurusan MPB Rafiq Razali; Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Omnia Datuk Michael Chan dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Television Networks dan Primeworks Studios Datuk Khairul Anwar Salleh.

AZAM (tiga kanan) menerima cenderahati disampaikan Syed Hussian Aljunid (tiga kiri) ketika melakukan lawatan ke Sri Pentas, Bandar Utama. FOTO Hairul Anuar Rahim
AZAM (tiga kanan) menerima cenderahati disampaikan Syed Hussian Aljunid (tiga kiri) ketika melakukan lawatan ke Sri Pentas, Bandar Utama. FOTO Hairul Anuar Rahim

Mengulas lanjut, Azam berkata, pelbagai platform MPB boleh diambil kesempatan oleh SPRM untuk menyebarkan mesej bebas rasuah antaranya program berbenduk dokumentari dan Kisah Benar.

"Tidak semestinya kita gunakan banyak platform untuk menyampaikan mesej ini tetapi ia perlulah sesuatu yang memberi impak tinggi. Mungkin boleh wujudkan dokumentari atau cerita berdasarkan kisah benar.

"Kita boleh beri input dan dengan kepakaran yang ada pada MPB, ia boleh dilaksanakan dalam pelbagai aspek," katanya.

Sementara itu, Syed Hussian berkata, pertemuan ini adalah bagi mempertingkatkan koloborasi sedia ada antara MPB dan SPRM.

"Perbincangan tertumpu kepada bagaimana kita ingin mendidik masyarakat dan apa aspek pencegahan yang boleh dikongsi dengan MPB.

"Antara lain mungkin kita boleh membuat program, drama atau temubual bagi menerangkan kepada masyarakat mengenai SPRM," katanya.

Menurutnya, penerangan ini penting untuk disebarkan kepada masyarakat bagaimana SPRM ditubuhkan dan bagaimana SPRM dipantau.

"Masyarakat mungkin tidak tahu SPRM dipantau oleh lima jawatankuasa, perkara-perkara ini jika dapat dikongsi akan meningkatkan lagi kefahaman masyarakat terhadap SPRM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Ogos 2022 @ 3:18 PM