Mahaizura Abd Malik


Petaling Jaya: Bukan hanya sebagai wadah menyampaikan maklumat, malah kerjasama erat antara Kementerian Pengangkutan (MOT) dengan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) dilihat penting dalam memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengakui, media memainkan peranan besar dalam menjayakan inisiatif yang digerakkan kementerian terbabit serta bertindak sebagai pendidik masyarakat.

"MOT perlu ada kolaborasi dan kerjasama erat MPB kerana banyak yang kita boleh lakukan untuk memberikan mesej kepada masyarakat.

"Antara perkara utama yang selalu saya tekankan iaitu membudayakan pengangkutan awam dalam kalangan rakyat Malaysia dan menyebarkan maklumat dan kesedaran berkenaan keselamatan jalan raya.

"Selain itu, (dalam usaha) cuba merendahkan kadar kemalangan jalan raya negara kita, kita juga (boleh) sama-sama memberikan kesedaran kepada anak muda bahaya kegiatan rempit dan kita dapat pastikan jalan raya lebih selamat kepada semua orang," katanya selepas mengadakan lawatan ke Sri Pentas, di sini, hari ini.

GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan

Loke disambut Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid dan Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Rafiq Razali. Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Media Prima Omnia, Mohd Efendi Omar serta Pengarang Urusan Kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) merangkap Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman.

Loke berharap pertemuan itu akan membuka lebih banyak ruang untuk bekerjasama dengan MPB dalam pelbagai aspek lain pada masa akan datang.

Terdahulu, Loke yang hadir ditemani Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berpeluang melawat studio televisyen dan radio di bawah MPB.

Beliau turut meluangkan masa kira-kira sejam mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi MPB serta diberi taklimat mengenai hala tuju dan trend semasa media dan operasi harian rangkaian MPB.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Julai 2023 @ 2:14 PM