Audrey Dermawan

Georgetown: Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) komited dalam mewujudkan komunikasi berkesan antara polis dan rakyat dalam aspek penyampaian maklumat serta pencegahan jenayah.

Pengerusi Kumpulan MPB Datuk Dr Syed Hussian Al-Junid berkata, komitmen itu akan diterjemahkan melalui banyak platform komunikasi konglomerat media, khususnya dalam tempoh pandemik Covid-19.

Komitmen itu disuarakan oleh Syed Hussian ketika mengadakan kunjungan hormat oleh pengurusan tertinggi MPB terhadap Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abdul Manan dan timbalannya, Datuk Abdul Aziz Majid di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang di sini, hari ini.

"Hari ini, kami membincangkan mengenai kolaborasi di masa depan yang dapat dilakukan melalui banyak platform MPB.

"Antaranya stesen radio kami di mana polis dapat menggunakan untuk menghebahkan maklumat yang diperlukan kepada masyarakat.

"Mesyuarat selama satu jam hari ini menarik kerana kita dapat meneroka cabang baru yang dapat kita bekerjasama dengan polis," katanya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Omnia Datuk Michael Chan dan Pengarah Jualan Media Prima Omnia Mohd Efendi Omar.

Menurut Syed Hussian, MPB dapat menggunakan banyak platformnya termasuk saluran digitalnya, rangkaian televisyen dan radio dan akhbarnya untuk mengirimkan pesanan penting kepada masyarakat dengan cepat dan tepat.

"Kekuatan MPB yang disokong oleh kira-kira 25 juta pengguna ketika ini dapat digunakan oleh polis untuk mendekatkan diri dengan masyarakat," katanya.

Sementara itu, Sahabudin berkata, kerjasama antara polis dan media khususnya MPB sudah lama wujud.

"Kami akan meneruskan kolaborasi yang sudah dijalin selama ini dan berharap apa yang dilakukan oleh pasukan dapat dihebahkan kepada orang awam," katanya.

Dalam pertemuan itu, Syed Hussian juga menyampaikan penghargaan MPB kepada polis Pulau Pinang atas kerjasama dan bantuan yang diberikan selama ini terutama ketika tempoh pandemik sejak tahun lalu.

Semalam, pengurusan kanan MPB turut mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow di pejabatnya di Komtar.

Dalam pertemuan selama satu jam itu, MPB mengundang jemputan kepada pemimpin Pulau Pinang itu untuk menggunakan banyak platformnya bagi menghebahkan rancangan masa depan negeri terbabit untuk menarik generasi muda turut serta dalam pembangunan.

Sahabudin ketika menerima kunjungan hormat Syed Hussain di IPK Pulau Pinang, Georgetown hari ini. Foto Mikail Ong
Sahabudin ketika menerima kunjungan hormat Syed Hussain di IPK Pulau Pinang, Georgetown hari ini. Foto Mikail Ong

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 April 2021 @ 7:02 PM