ZULKIFLI (lima kiri) ketika menerima kunjungan daripada Syed Hussian (empat kiri) dan pengurusan kanan MPB. FOTO Mohd Fadli Hamzah
ZULKIFLI (lima kiri) ketika menerima kunjungan daripada Syed Hussian (empat kiri) dan pengurusan kanan MPB. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Redzuan Muharam


Putrajaya: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerima kunjungan hormat daripada pengurusan kanan Media Prima Berhad (MPB) di pejabat beliau di Kompleks Islam Putrajaya, di sini, hari ini.

Kunjungan diketuai Pengerusi Kumpulan MPB, Datuk Syed Hussian Aljunid dan disertai Pengarah Urusan Kumpulan MPB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood.

Turut serta dalam kunjungan hormat itu adalah Pengarah Eksekutif Kumpulan MPB, Rafiq Razali dan Pengurus Besar Omnia, Fendi Omar.

Syed Hussian berkata, pelbagai perkara dibincangkan dalam pertemuan selama sejam itu antaranya bagaimana MPB boleh menjalin kerjasama dengan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) menerusi platform digital.

"Dalam pertemuan hari ini, kita memperkenalkan rancangan keagamaan yang ada, salah satunya animasi Alif & Sofia.

"Ia mendapat sambutan daripada Yang Berhormat dan akan datang, kita bakal mengadakan perbincangan selanjutnya berhubung bagaimana untuk menyusun atur perkara dibincangkan.

"Perjumpaan dengan Unit Komunikasi Korporat (UKK) akan diadakan dalam masa terdekat, mungkin dalam bulan puasa nanti," katanya ketika ditemui selepas selesai pertemuan selama dengan Dr Zulkifli.

Menurut Syed Hussian, MPB sedia menjalin kerjasama dengan JPM bagi memanfaatkan platform digital sedia ada.

"Kita lihat ada dua tiga perkara boleh ditambah baik misalnya hal berkaitan zakat kerana MPB banyak platform sedia ada yang boleh diguna pakai untuk JPM.

"Selain itu, animasi Alif & Sofia seperti yang disebutkan tadi juga boleh menarik minat kanak-kanak terhadap keagaaman.

"Animasi itu cabang baru untuk diteroka bagi membangunkan lagi platform digital kita yang meraih 15 hingga 16 juta tontonan setiap bulan," katanya.

Sebelum mengadakan perbicangan, Dr Zulkifli turut meluangkan masa bersarapan pagi dengan Syed Hussian dan wakil daripada pengurusan MPB.


Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 11:53 AM