Rohaniza Idris


TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerima kunjungan hormat daripada pengurusan kanan Media Prima Berhad (MPB) di pejabat beliau di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di Putrajaya, hari ini.

Kunjungan diketuai Pengerusi MPB, Datuk Syed Hussian Aljunid dan disertai Pengarah Eksekutif Kumpulan MPB, Datuk Iskandar Mizal Mahmood dan Pengarah Eksekutif, Operasi Berita dan Editorial Media Prima, merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Interim New Straits Times (NSTP), Mustapha Kamil Mohd Janor.

Turut serta Pengarang Kumpulan Berita Harian, Saidon Idris; Pengarang Kumpulan NST, Ahmad Lokman Mansor; Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit dan Pengurus Besar Kumpulan Jabatan Komunikasi Korporat MPB, Azlan Abdul Aziz.

Pertemuan selama kira-kira sejam itu, antara lain mendengar taklimat mengenai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta amalan kerja terbaik dilaksanakan kementerian dalam membantu kumpulan sasar.

DR Wan Azizah (empat kiri) menerima cenderahati daripada pengurusan tertinggi Kumpulan MPB yang disampaikan Syed Hussian (empat kanan). Turut hadir (dari kiri) Ahmad Lokman, Saidon, Mustapha Kamil, Iskandar Mizal, Husain dan Azlan (kanan). FOTO Luqman Hakim Zubir
DR Wan Azizah (empat kiri) menerima cenderahati daripada pengurusan tertinggi Kumpulan MPB yang disampaikan Syed Hussian (empat kanan). Turut hadir (dari kiri) Ahmad Lokman, Saidon, Mustapha Kamil, Iskandar Mizal, Husain dan Azlan (kanan). FOTO Luqman Hakim Zubir

MPB turut menjelaskan mengenai operasi akhbar terbitan NSTP dan saluran televisyen di bawah MPB, selain perancangan kerjasama dengan kementerian bagi program memberi kesan kepada rakyat.

Syed Hussian berkata, kunjungan itu juga bagi mengeratkan hubungan antara kementerian dengan MPB.

"Kita mendengar banyak program kementerian dalam membantu masyarakat terutama orang kelainan upaya (OKU), wanita dan kanak-kanak.

"Ramai tidak tahu program berkenaan dan kita akan membantu kementerian menyampaikan maklumat kepada umum mengenai usaha membantu masyarakat ini," katanya.

Beliau menjelaskan akan mengadakan pertemuan susulan selepas kunjungan itu untuk kerjasama selanjutnya.

Di majlis yang sana, Dr Wan Azizah turut membawa rombongan MPB melakukan kunjungan ke Kafe Selera Jemari yang dikendalikan sepenuhnya kakitangan OKU masalah pendengaran dan pertuturan serta mereka yang ada masalah pembelajaran.

Kafe terletak di tingkat dua kementerian itu dengan 12 kakitangan sudah beroperasi setahun setengah adalah inisiatif kementerian bersama Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) memberi peluang kepada OKU untuk memasuki pasaran kerja, berdikari dan belajar kemahiran bekerja di lapangan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 January 2020 @ 5:43 PM