Penguatkuasa Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sedang memeriksa premis ketika Operasi Pesisir Pantai Daerah Setiu. FOTO Ihsan JKNT
Penguatkuasa Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu sedang memeriksa premis ketika Operasi Pesisir Pantai Daerah Setiu. FOTO Ihsan JKNT
Zatul Iffah Zolkiply

Setiu: Sebuah warung ikan celup tepung (ICT) di Pantai Penarik di sini diarah tutup dua minggu selepas dikesan berada dalam keadaan kotor dan tidak mencapai standard kebersihan ditetapkan.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Datuk Dr Kasemani Embong berkata, arahan penutupan premis bermula semalam itu dikeluarkan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Menurutnya, warung itu antara 24 premis yang diperiksa pasukan penguat kuasa Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dalam Operasi Pesisir Pantai Daerah Setiu membabitkan 30 penguat kuasa.

"Premis yang ditutup boleh mengemukakan permohonan untuk membuka kedainya lebih awal sekiranya dapat menyempurnakan tindakan pembetulan sebagaimana diarahkan.

"Dalam operasi sama, kita turut mengeluarkan 23 notis kehadiran di mahkamah membabitkan kompaun bernilai RM7,200 kepada pengusaha premis-premis lain.

"Daripada jumlah itu, 17 notis dikeluarkan bagi kesalahan yang berkaitan dengan pakaian pengendali makanan manakala enam lagi notis bagi kesalahan kegagalan mematuhi Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 seperti menggaji pengendali makanan yang tiada pelalian anti-tifoid dan tidak menjalani latihan pengendalian makanan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr Kasemani berkata, pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis makanan di Terengganu akan terus dijalankan bagi memastikan ia sentiasa berada dalam keadaan yang bersih.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 11:28 PM