PENGUAT Kuasa Kesihatan Kota Kinabalu melakukan pemeriksaan di sebuah premis di PCC. FOTO Juwan Riduan
PENGUAT Kuasa Kesihatan Kota Kinabalu melakukan pemeriksaan di sebuah premis di PCC. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Sembilan premis makanan diarahkan tutup selepas didapati kotor dengan najis tikus dan lipas berkeliaran di bahagian dapur premis berkenaan di kawasan Polytechnic Commercial Centre (PCC), di sini, semalam.

Menerusi Operasi Bersepadu Akta Makanan 1983 yang dilaksanakan itu turut mengeluarkan 11 notis kepada pemilik premis serta pengendali makanan atas pelbagai kesalahan lain.

Pegawai Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, Dr Prabakaran Dhanaraj berkata, operasi berkenaan dijalankan secara serentak di seluruh negeri ini.

Katanya, sebanyak 15 premis makanan di kawasan PCC diperiksa dan sembilan premis makanan tidak menepati standard ditetapkan dan diarahkan tutup untuk kerja pembersihan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

"Pada masa sama, sebanyak 11 notis mengikut 32B Akta Makanan 1983 turut dikeluarkan kepada pemilik premis, wakil premis dan pengendali makanan selepas pelbagai kesalahan dikesan.

"Antara kesalahan termasuklah gagal mendaftarkan premis makanan dengan Kementerian Kesihatan (KKM), pengendali makanan tidak menjalani latihan, tiada suntikan anti-tifoid dan pakaian pengendali makanan.

"Kesalahan lain yang turut dikesan adalah gagal mematuhi kehendak kewajipan mengekalkan premis bersih dan bebas daripada sampah, makhluk perosak seperti tikus dan lipas," katanya ketika ditemui, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam operasi sama, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) masing-masing mengeluarkan 13 notis serta satu kompaun disebabkan pelbagai pelanggaran.

Katanya, operasi bersepadu yang dijalankan bagi memastikan premis makanan mematuhi kehendak Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dipatuhi dilaksanakan Unit Inspektorat serta Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan selain turut disertai oleh agensi lain seperti KPDN Sabah, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan DBKK.

"Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu ingin menasihatkan semua pemilik premis makanan agar senantiasa peka tentang aspek kebersihan premis makanan seperti yang tertakluk dalam peruntukan undang-undang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Mei 2023 @ 3:20 PM