KEADAAN dapur sebuah premis makanan yang diarah tutup. FOTO Ihsan JKWPKL.
KEADAAN dapur sebuah premis makanan yang diarah tutup. FOTO Ihsan JKWPKL.
Raja Noraina Raja Rahim


LIPAS dan tikus berkeliaran di kawasan premis selain lantai yang kotor.

Itu antara dikesan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya ketika Operasi Penguatkuasaan Premis Makanan Kotor di Lucky Garden, Bangsar, Kuala Lumpur, semalam.

Keadaan jijik itu menyebabkan enam premis termasuk gerai popular dengan menu kari kepala ikan yang beroperasi di kawasan berkenaan diarah tutup selama 14 hari.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr Param Jeeth Singh Pakar Singh berkata, operasi membabitkan 13 anggota dari Jabatan Kesihatan negeri dan Pejabat Kesihatan Lembah Pantai.

Menurutnya, operasi bermula jam 10 pagi itu memeriksa lapan premis makanan.

“Dalam pemeriksaan dilakukan, lima gerai dan sebuah restoran didapati tidak mematuhi Akta Makanan 1983.

“Antara kesalahannya adalah keadaan lantai dapur kotor, terdapat lipas dan tikus, tong sampah tidak mencukupi dan perangkap minyak tidak diselenggara dengan baik.

“Malah, ada yang menggunakan akhbar sebagai pembalut sayur-sayuran, selain keadaan susun atur dalam peti ais yang tidak teratur dan suhu tidak mematuhi piawaian ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan kesalahan itu, Param Jeeth berkata, sebanyak 15 notis Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dikeluarkan kepada premis berkenaan.

Beliau berkata, semua premis diarah tutup selama 14 hari.

Bagaimanapun, katanya, pengusaha boleh memohon untuk membuka semula premis dalam tempoh berkenaan sekiranya mengambil tindakan susulan seperti diarahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Februari 2020 @ 3:54 PM