Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar menahan 189 motosikal dan 36 kereta di Jalan Pegawai pada Op Samseng Jalanan awal pagi tadi.

Operasi bermula jam 1.30 pagi itu disertai 30 pegawai dan anggota hasil pemantauan yang mendapati ada aktiviti samseng jalanan di lokasi terbabit.

Lokasi itu menjadi tumpuan penunggang motosikal untuk mempamerkan aksi merbahaya malah sudah beberapa kali diserbu polis.

Dalam operasi itu, sekumpulan penunggang motosikal menjadikan dua persimpangan lampu isyarat di lokasi itu sebagai garisan perlumbaan.

Ia turut disaksikan penonton di bahu jalan tanpa menyedari gelagat mereka diperhatikan polis.

Polis kemudiannya mengepung kawasan itu jam 3.30 pagi ketika kumpulan remaja bermotosikal terbabit sedang asyik berlumba dan melakukan pelbagai aksi merbahaya.

Terkejut dengan kehadiran polis, kumpulan remaja bermotosikal serta individu lain yang menaiki kereta cuba melarikan diri.

Bagaimanapun, cubaan itu gagal selepas semua laluan keluar dikepung pasukan operasi.

Kesemua yang terbabit berusia belasan tahun hingga 20-an.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, pihaknya memeriksa 240 remaja lelaki dan perempuan yang terbabit dalam aktiviti itu.

SEBAHAGIAN penunggang motosikal yang ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam Op Samseng Jalanan terpaksa mengusung motosikal masing-masing. FOTO ihsan PDRM
SEBAHAGIAN penunggang motosikal yang ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam Op Samseng Jalanan terpaksa mengusung motosikal masing-masing. FOTO ihsan PDRM

Beliau berkata, 189 motosikal dan 36 kereta diperiksa untuk tindakan lanjut.

"Sebanyak 143 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik manakala 39 motosikal disita.

"Kami komited membendung aktiviti tidak bermoral ini yang bukan saja membahayakan diri sendiri malah pengguna jalan raya lain," katanya.

Ahmad Shukri turut menasihati ibu bapa supaya lebih peka dengan aktiviti anak mereka pada lewat malam supaya tidak terjebak dengan aktiviti seperti itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Oktober 2022 @ 11:53 AM