Sebahagian daripada penunggang motosikal yang diperiksa.
Sebahagian daripada penunggang motosikal yang diperiksa.
HM Digital

Alor Setar: Sebanyak 158 saman dikeluarkan membabitkan 168 kesalahan trafik dalam Ops Samseng Jalanan Ambang Merdeka yang diadakan di sekitar daerah ini secara bersepadu bersama polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Setar Superintendan Yazri Ismail berkata, operasi bermula jam 11.30 malam hingga 7 pagi semalam diadakan di sekitar Jalan Pegawai dan Pekan Cina.

Menurutnya, seramai tiga pegawai dan 48 anggota polis bersama 10 anggota AADK menjalankan operasi itu bagi membanteras kegiatan samseng jalanan.

“Seramai 507 individu berusia 17 hingga 30-an diperiksa membabitkan 357 motosikal dan pemeriksaan polis kemudian mengeluarkan 158 saman membabitkan 168 kesalahan trafik.

“Kesalahan itu adalah Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh tiga, insurans tamat tempoh (7), tiada lesen (19), tidak melekat lesen P dan L (23), ubah suai nombor pendaftaran (43), bawah umur (2) dan cermin sisi 10 kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, dalam operasi itu juga pihaknya menahan seorang lelaki berusia 20 tahun kerana positif dadah selain menyita 24 motosikal.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 42 (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 15 (1), Akta Dadah Berbahaya 1957,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 September 2017 @ 9:07 AM