GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Polis menahan seorang Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas disyaki mendera adik kandungnya yang orang kurang upaya (OKU), di Bandar Sri Jempol, dekat sini pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, dalam kejadian itu, mangsa berusia 39 tahun mendakwa dipukul abangnya dengan satu objek selain dicucuh dengan api.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan cedera pada bahagian perut dan belakang badan mangsa.

"Mangsa dibawa ke Hospital Jempol dan pemeriksaan doktor mengesahkan mempunyai kecederaan pada bahagian perut dan belakang badan.

"Suspek ditangkap pada 4 petang, Sabtu lalu sebelum direman selama empat hari sehingga esok," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Hoo berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Katanya, siasatan masih lagi dijalankan dan orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 10:30 PM