FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Seorang lelaki keluar dari kereta yang dibakar di kebun getah di sini, semalam bagi meminta bantuan selepas tidak tahan dengan panas daripada api.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hoo Chang Hook berkata, polis sebelum itu menerima panggilan telefon daripada orang ramai pada 7.03 malam mengenai kejadian kereta terbakar di kebun berkenaan.

Katanya, mangsa, 33, kemudian ditemui orang ramai pada 8.30 pagi dalam keadaan tidak berpakaian selain terdapat kesan melecur pada bahagian badan di tepi jalan kawasan Kampung Bukit Tempurung.

"Mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN).

"Mangsa beritahu dia disamun oleh dua lelaki yang tidak dikenali menggunakan motosikal ketika berada di kawasan Juasseh, Kuala Pilah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Hoo berkata ketika siasatan lanjut dijalankan polis, mangsa mengaku kejadian samun itu adalah tidak benar.

Katanya, mangsa tidak mahu masalah yang dialami diketahui ahli keluarganya.

"Polis menyeru semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan video serta gambar yang tersebar di media sosial berkaitan kejadian ini.

"Polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 309 dan Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 6:43 PM