ANTARA kereta yang ditemukan semula. FOTO Ihsan Polis
ANTARA kereta yang ditemukan semula. FOTO Ihsan Polis
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Empat kenderaan curi berjaya ditemui semula susulan penahanan seorang lelaki warga Myanmar di Taman Seri Taming, Kajang di semalam.

Semua kenderaan terdiri empat kereta jenama Proton Iswara itu ditemukan di tepi Jalan Utama Pandan Jaya dan kawasan parkir bersebelahan M10 & M15.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tiga kenderaan yang ditemui masih dilaporkan hilang dalam daerah Ampang manakala sebuah lagi dilaporkan hilang dalam daerah Cheras.

"Polis memberikan amaran dan nasihat kepada orang ramai supaya tidak terbabit dalam apa apa perbuatan melakukan curi kenderaan,"katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, seorang lelaki warga Myanmar ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes curi kenderaan di Pandan Perdana, Ampang.

Penahanan suspek berusia 24 tahun itu dilakukan kira-kira jam 1.30 pagi selepas laporan diterima polis mengenai kehilangan sebuah kenderaan.

Modus operandi suspek adalah mensasarkan kereta model lama di parkir di kawasan sunyi.

Semakan lanjut mendapati suspek memiliki empat rekod lampau berkaitan kes jenayah dan narkotik.

Ujian air kencing ke atas suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine

Suspek akan direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 4:23 PM