ASISTEN Komisioner Mohd Said Ibrahim menunjukkan gambar cermin sebuah kereta yang pecah dan mempunyai kaitan dengan kes lelaki berkenaan.
ASISTEN Komisioner Mohd Said Ibrahim menunjukkan gambar cermin sebuah kereta yang pecah dan mempunyai kaitan dengan kes lelaki berkenaan.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Seorang lelaki sanggup berulang-alik dari Klang, Selangor ke bandar ini untuk memecahkan cermin kereta dengan menggunakan batang besi sebelum mencuri barangan berharga.

Walaupun jarak perjalanan sejauh 90 kilometer sehala, tetapi lelaki berusia 43 tahun itu sanggup berulang-alik dengan kereta Nissan Cefiro setiap hari untuk melakukan jenayah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim berkata, suspek aktif melakukan jenayah pecah cermin kereta dan mencuri barangan berharga sejak Julai hingga 24 Ogos lalu sebelum ditangkap pada 25 Ogos lalu.

"Suspek disyaki terbabit dengan 19 kes pecah cermin kereta dan curi dengan nilai kerugian berjumlah RM100,000.

"Suspek ditangkap pada 25 Ogos lalu di sebuah rumah di Klang selepas siasatan dijalankan polis," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, hari ini.

Mohd Said berkata, suspek menggunakan batang besi untuk memecahkan cermin kereta sebelum mengambil barangan berharga ditinggalkan dan menyasarkan kenderaan diparkir di kawasan sunyi.

Beliau berkata, susulan penahanan suspek berkenaan, polis menemui pelbagai barangan seperti komputer riba, kamera dan kasut dipercayai hasil curi.

"Suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan kes curi dan polis percaya dia turut terbabit dengan jenayah sama di Shah Alam dan daerah lain.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tujuh tahun dan sebat jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 4:55 PM