GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Ampang Jaya: Dua lelaki ditahan di kawasan rumah pangsa di Taman Bukit Sentosa, Rawang selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan curi kereta di Ampang di sini, semalam.

Penahanan kedua lelaki berusia 27 dan 31 tahun dilakukan itu kira-kira pada 4.20 petang oleh sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya hasil maklumat dan risikan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, tangkapan itu dilakukan susulan satu laporan dibuat mangsa pada 11 Ogos lalu mengenai kehilangan kereta jenis Proton Wira miliknya.

Menurutnya, mangsa mendakwa parkir kenderaannya di kawasan sebuah flat di Jalan Pandan Indah dekat sini, pada 9 malam.

"Namun pada jam 8.30 pagi keesokannya pengadu mendapati keretanya tiada dan disyaki dicuri.

"Susulan kehilangan kereta itu, mangsa mengalami kerugian lebih kurang RM5,000," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Farouk, bertindak atas maklumat, kedua-dua suspek ditahan ketika sedang meleraikan sebuah kenderaan warna putih dengan nombor pendaftaran hadapan tiada, manakala nombor casis diganggu.

"Hasil pemeriksaan lanjut turut menemui serangkai anak kunci digunakan untuk mencuri kenderaan berkenaan.

"Semua barang rampasan dibawa ke IPD Ampang Jaya bagi membantu siasatan lanjut," katanya.

Menurutnya, modus operandi suspek adalah mensasarkan model kereta lama yang parkir di kawasan sunyi untuk dicuri.

"Semakan terhadap suspek pertama mendapat dia tiada memiliki sebarang rekod jenayah, manakala suspek kedua memiliki satu rekod narkotik dan masih dikehendaki.

"Permohonan reman ke atas kedua-dua suspek dipohon di Mahkamah dan dibenarkan reman selama empat hari bermula hari ini sehingga 18 Ogos ini,"katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun keseksaan yang merujuk kepada melakukan kesalahan mencuri kenderaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 2:29 PM