Mohd Iskandar Ibrahim


Kuala Lumpur: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sudah lama beliau tidak berasa seronok ketika menghadiri Majlis Sambutan 60 Tahun Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, segala masalah ibarat hilang ketika bertemu dengan kira-kira 7,000 warga KEMAS yang berhimpun pada majlis berkenaan.

"Sudah lama saya tak seronok macam hari ini... macam-macam masalah yang timbul, hari ini hilang semua masalah timbul.

"Sebenarnya saya dah lama merindui bersama-sama warga KEMAS seperti satu ketika dahulu, agak lama saya bersama warga KEMAS, yang saya kira sebagai barisan hadapan kerajaan," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Ismail Sabri berkata, ketika beliau menjawat jawatan Menteri di Kementerian Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), setiap program dihadirinya mengundang 'mood' ceria.

Katanya, keceriaan itu ditambah dengan kehadiran kanak-kanak Tabika KEMAS pada setiap program anjuran jabatan itu.

"Ketika saya di KKLW atau di mana-mana, setiap program saya akan disambut kanak-kanak. Walaupun pagi 'mood' tak baik, bila ada kanak-kanak selesai masalah dan program bertukar meriah.

"Cuma dari segi sejarahnya satu ketika, KEMAS hilang dari pandangan mata masyarakat. Kita tahu kenapa, ada orang diberi amaran pilih antara dua, nak 'berkemas' keluar atau nak tinggal dalam KEMAS.

"Kalau nak dalam KEMAS, kena keluar daripada menjadi ahli politik tertentu," katanya.

Beliau bagaimanapun memberi jaminan, perkara itu tidak akan berulang lagi.

"Itu dahulu, tapi sekarang saya nak KEMAS jangan lagi risau kerana saya difahamkan, (mereka) sudah diberi ruang untuk berpolitik semula," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 4:24 PM
ISMAIL Sabri Yaakob, diiringi Mahdzir Khalid, hadir ke Majlis Perhimpunan Perdana Sempena Sambutan 60 KEMAS. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
ISMAIL Sabri Yaakob, diiringi Mahdzir Khalid, hadir ke Majlis Perhimpunan Perdana Sempena Sambutan 60 KEMAS. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.