MOHAMAD Yasid menyampaikan sumbangan hari raya kepada salah seorang kanak-kanak Tabika Kemas. FOTO Mohd Khidir Zakaria
MOHAMAD Yasid menyampaikan sumbangan hari raya kepada salah seorang kanak-kanak Tabika Kemas. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


Rembau: Tiada kes penderaan atau sebagainya di Tadika Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di seluruh negara seperti yang berlaku terhadap kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) bernama Bella.

Ketua Pengarah Kemas Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan pembelajaran dan murid di Tadika Kemas daripada sebarang kesan penderaan.

"Tidak ada sebarang kes penderaan di lebih 10,800 premis KEMAS membabitkan 220,000 kanak-kanak di seluruh negara.

"Setakat ni, masih terkawal kerana setiap tadika ada jawatankuasanya membabitkan ibu bapa dan guru tadika hanya sebagai setiausaha yang menyelengarakan perbelanjaan serta pengajaran. setakat tiada kes dera di tadika KEMAS," katanya sempena Majlis Perasmian Program Qukis dan Promosi Jualan Aidilfitri Kemas Negeri Sembilan di Pusat Kegiatan Masyarakat Kemas, di sini tadi

Untuk rekod, Tabika Kemas pernah muncul sebagai salah satu pemenang, anugerah emas oleh majalah terkenal dunia Reader's Digest Trusted Brands 2017, bagi kategori Pusat Pembelajaran Pra-Sekolah Pilihan Pengguna di Malaysia.

Turut hadir, Pengerusi Puspanita Cawangan Kecil KEMAS Malaysia, Datin Latifah Abu Kasim dan Pengarah Kemas Negeri Sembilan, Zulkefli Ahmad Nazri.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau tidak mempunyai sebarang halangan buat kesemua guru tabika sekiranya 'content' (pengisian) yang diketengahkan adalah bagi memudahkan pembelajaran kanak-kanak.

"Namun saya tidak akan sesekali membenarkan aplikasi 'TikTok' berkenaan digunakan bagi tujuan peribadi lebih-lebih lagi sekiranya dilakukan dalam waktu pejabat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2022 @ 5:28 PM