LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Penyanyi Rock lagenda tanah air Amy Search menganggap anugerah pingat Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang diterima hari ini adalah pencapaian tertinggi sepanjang kariernya.

Amy dianugerahkan pingat D.P.S.M yang membawa gelaran Datuk sempena Sambutan Hari Jadi Ke-73 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam, hari ini.

Pemilik nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman, 64, berkata, sepanjang 40 tahun bergelar anak seni dirinya tidak pernah mengimpi akan dianugerahkan penghargaan sedemikian.

"Syukur dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka, Tun Mohd Ali dan semua yang terbabit menyokong saya sehingga ke hari ini.

"Malah saya juga mengucapkan syukur ke hadrat Ilahi yang memberikan (anugerah) ini yang saya sendiri tidak pernah impikan malah hari ini adalah hari yang terindah dalam karier," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima anugerah pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-73, Tuan Yang Terutama Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam.

Amy yang juga bapa kepada pelakon Nabila Huda berkata, dia berlapang dada dan bersedia untuk menjalinkan kerjasama bersama kerajaan negeri sekiranya diminta.

"Saya semenangnya meminati semua seni bina dan budaya yang pelbagai di Melaka selain isteri juga berasal dari Melaka, malah saya berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada negeri ini," katanya.

Terdahulu, pada Istiadat Penganugerahan itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendahului senarai 883 penerima Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Melaka.

Ismail Sabri dikurniakan Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama pada istiadat yang berlangsung di Dewan Istiadat di Seri Negeri, di sini.

Berita berkaitan:

  • Sekarang sudah Datuk Amy Search
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 4:19 PM