Tun Mohd Ali menganugerahkan DUNM yang membawa gelaran Datuk Seri Utama kepada Ab Rauf Yusoh, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Tun Mohd Ali menganugerahkan DUNM yang membawa gelaran Datuk Seri Utama kepada Ab Rauf Yusoh, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Ayer Keroh: Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, mendahului senarai 1,042 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri sempena Sambutan Hari Jadi Yang di-Pertua Negeri Tun Mohd Ali Mohd Rustam Ke-74, hari ini.

Ab Rauf dikurniakan Darjah Utama Negeri Melaka (DUNM) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama pada sesi pertama istiadat yang berlangsung di Dewan Istiadat Seri Negeri di sini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dianugerahi Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Istiadat yang diadakan tiga sesi itu menyaksikan 20 individu dianugerahi Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira.

Antara penerimanya ialah EXCO Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Datuk M Noor Azman Taib; serta Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Tajul Razi Abdul Aziz.

Turut menerima DCSM adalah Ketua Polis Melaka Datuk Zainol Samah; Setiausaha Agung Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki; dan Pengarah Southern Power Generation Sdn Bhd Datuk Norzaity Othman.

Seramai 18 individu menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk, antaranya EXCO Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Fairul Nizam Roslan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taboh Naning Zulkiflee Mohd Zin; Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi) Dr Anasee Ibrahim; Setiausaha Politik Perdana Menteri Azman Abidin dan Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Dr Massila Kamalrudin.

Adun Duyong Mohd Noor Helmy Abdul Halem mengetuai 208 penerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.

Turut menerima darjah kebesaran sama, Pengarah Kor Amor Diraja Brigadier Jeneral Mohd Fazly Mat Said; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) Badaruddin Mohd Kassim; Pegawai Daerah dan Tanah (PDT) Jasin, Rahizi Ranom; Panglima 10 Briged Mejar Jeneral Khairul Azmizai Ahmad Natal dan komposer, S Atan atau nama sebenarnya Hashim Said.

Tahun ini, 62 penerima dianugerahi Darjah Seri Melaka (DSM) diikuti 96 individu menerima Bintang Cemerlang Melaka (BCM), 205 menerima Bintang Khidmat Terpuji (BKT), 292 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 129 penerima Pingat Bakti Masyarakat (PBM) dan 10 menerima Pingat Khidmat Lama (PKL).

Sementara itu, beberapa pengamal media turut menerima anugerah kebesaran negeri.

Mereka adalah Ketua Pengarah Penyiaran Suhaimi Sulaiman yang menerima DPSM; wartawan sambilan NSTP, Nursaliawati Salberi; wakil Astro Awani Melaka, Nurshuhada Kadir dan wartawan Sin Chew Daily, Teh Xiao Tong, masing-masing menerima PJK.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Ogos 2023 @ 12:54 PM