Acryl Sani (kiri) dan Zamrose.
Acryl Sani (kiri) dan Zamrose.
Amir Mamat


Ayer Keroh: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani bersama Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain mendahului senarai 695 penerima darjah, bintang dan pingat kebesaran Melaka sempena hari jadi Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam yang ke-72, hari ini.

Acryl Sani dan Zamrose masing-masing akan menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) malam tadi, memaklumkan Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka akan berlangsung selepas negeri itu memasuki ke Fasa 3, Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Selain itu, faktor keselamatan dan kesihatan umum juga diambil kira sebagai faktor penangguhan istiadat itu demi melindungi nyawa rakyat dan mengelakkan krisis kesihatan yang lebih teruk.

Bagaimanapun, gelaran bagi semua anugerah darjah kebesaran bergelar boleh digunakan oleh penerima, manakala istiadat penganugerahan pula akan dizahirkan pada tarikh yang akan ditetapkan kelak mengikut ketetapan dalam PPN.

Sementara itu, Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali mengetuai senarai 14 penerima Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira.

Turut menerima darjah kebesaran yang sama, antaranya adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Dr Noor Zari Hamat; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara, Datuk Md Rawi Mahmud; ADUN Sungai Rambai, Datuk Hasan Abd Rahman dan lagenda bola sepak negara, Datuk Soh Chin Aun.

Seramai tiga individu akan dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk iaitu Hakim Mahkamah Rayuan, Darryl Goon Siew Chye; Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, Anselm Charles Fernandis dan Pengarah Eksekutif Perodua Auto Corporation, Kazuyoshi Nagata.

Antara penerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk adalah Penasihat Undang-Undang Melaka, Abd Aziz Engan; Ketua Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Melaka, Shamsudin Sharif; Ketua Penolong Setiausaha Kanan Kerajaan, Unit Dewan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Haelmy Mohd Hanifah dan Pengurus Besar Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM), Mustafa Musa.

Kerajaan negeri juga bersetuju menganugerahkan Bintang Cemerlang Melaka (BCM) kepada pemain badminton beregu negara, Aaron Chia Teng Fong serta Naib Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia, Ahmad Janius Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 12:28 AM