RUSLAN (dua, kiri) bersama anggotanya menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang media berhubung kejayaan polis memberkas dua kumpulan. FOTO Bernama
RUSLAN (dua, kiri) bersama anggotanya menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang media berhubung kejayaan polis memberkas dua kumpulan. FOTO Bernama
Ahmad Hasbi


Seremban: Sasaran mereka hanya kedai serbaneka dan menunggu peluang menyamun pekerja premis itu serta melarikan barang jualan termasuk rokok pada lewat malam atau awal pagi.

Dengan bersenjatakan pisau, kumpulan yang dikenali sebagai 3K itu dipercayai melakukan jenayah samun di lima kedai serbaneka di sekitar Negeri Sembilan dan Selangor.

Kegiatan kumpulan itu tumpas dengan tertangkapnya empat suspek dalam beberapa serbuan di dua negeri terbabit pada 17 dan 18 Ogos lalu.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid berkata, pihaknya kini masih memburu seorang lagi ahli kumpulan itu yang masih bebas.

"Tangkapan terhadap empat suspek dilakukan oleh Cawangan D9 Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan. Suspek yang ditangkap berumur dari 21 hingga 26 tahun.

"Berdasarkan modus operandi, suspek akan mengenal pasti kedai serbaneka untuk sasaran dan melakukan samun lewat malam ataupun awal pagi dengan bersenjatakan pisau.

"Mereka akan mengambil barang berharga milik mangsa serta barang dalam kedai seperti rokok yang mudah dilarikan," katanya, semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga berjaya merampas barangan yang digunakan suspek untuk menyamun, iaitu sebuah Proton Iswara Aeroback dengan nombor pendaftaran palsu, pakaian, pisau lipat dan tiga telefon bimbit.

"Dengan tertangkapnya empat suspek, kami berjaya menyelesaikan lima kes samun kedai serbaneka yang berlaku awal Ogos lalu di Negeri Sembilan dan Selangor," katanya yang memberitahu kes itu disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

Beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek yang masih bebas untuk menyalurkan maklumat ke 06-7682339 atau pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Faizal Mohd Zaini di talian 013-3611854.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2022 @ 1:54 PM