Nur Saliawati Salberi


SEORANG penjenayah tercicir sebilah pisau yang digunakannya sebagai senjata ketika menyamun sebuah kedai serbaneka di kawasan industri kecil dan sederhana Hub Rembia, Alor Gajah, pada 8.50 malam, semalam.

Menerusi siasatan awal dijalankan, polis juga berjaya memperoleh gambaran wajah lelaki terbabit yang belum memakai penutup muka ketika dia berada di luar kedai serbaneka terbabit menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Terdahulu, suspek bersama seorang lagi rakan masing-masing bersenjatakan pisau dan batang besi menaiki kereta Honda City berhenti di depan kedai terbabit sebelum meluru ke arah kaunter pembayaran.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan A Asmadi Abdul Aziz berkata, suspek bersenjatakan pisau itu menutup muka menggunakan tuala kecil manakala rakannya memakai topeng muka.

Katanya, dua kakitangan wanita sedang bertugas ketika kejadian berlaku iaitu juruwang berusia 19 tahun dan pengurusnya berusia 27 tahun.

“Kejadian berlaku ketika hujan renyai dan keadaan di kedai serbaneka itu juga lengang.

“Kedua-dua suspek terus meluru ke kaunter pembayaran lalu mengacukan pisau serta besi dibawa mereka ke arah juruwang.

“€œSuspek kemudian mengarahkan pengurus premis supaya mengeluarkan wang tunai dari mesin daftar wang.

“Malah kerana mahu cepat, suspek turut melarikan laci mesin daftar wang mengandungi wang tunai berjumlah RM970 lalu beredar menaiki kereta diparkir di depan kedai serbaneka itu,” katanya.

Menurutnya, selain pisau, hasil pemeriksaan dilakukan di kaunter pembayaran pihaknya menemui tiga sampel cap jari disyaki milik suspek dan semakan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti identiti pemiliknya.

“Kami meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lokasi suspek berada supaya maklumkan segera kepada kami bagi membantu melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 November 2017 @ 4:25 PM
Wajah salah seorang suspek yang berjaya dirakam CCTV. FOTO ihsan PDRM
Wajah salah seorang suspek yang berjaya dirakam CCTV. FOTO ihsan PDRM