FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Seorang lelaki disyaki sanggup memperguna anaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) lembam bagi mengaburi perbuatan jenayahnya ketika menyamun sebuah kedai serbaneka, di Batu Berendam, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pihaknya menerima maklumat membabitkan kejadian itu kira-kira 1 tengah hari.

Katanya, laporan diterima daripada mangsa iaitu pekerja premis yang memaklumkan kejadian samun itu.

Beliau berkata, wanita terbabit memberitahu dia disamun oleh seorang lelaki yang bersenjatakan pisau yang turut membawa seorang kanak-kanak lelaki.

"Suspek didakwa turut melarikan wang tunai RM197 dan juga tiga kotak rokok Dunhill.

"Susulan laporan diterima, gerakan memburu suspek dijalankan pasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas D9, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, bersama pasukan Task Force dari Balai Polis Batu Berendam," katanya.

Beliau berkata, tidak sampai lima jam selepas melakukan samun, suspek berusia 32 tahun itu ditangkap pada 6 petang, di kawasan Bukit Piatu.

"Turut ditahan bersama suspek adalah anaknya yang berusia 12 tahun. Turut dirampas, wang tunai RM187 dan satu kotak rokok serta pakaian yang dipakai semasa kejadian.

"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek yang juga penganggur positif dadah, selain semakan lanjut mendapati dia turut mempunyai tiga rekod lampau membabitkan kes jenayah serta dadah.

"Suspek kini direman lima hari sehingga 28 Disember bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, manakala anaknya pula dibebaskan dengan jaminan polis," katanya.

Christopher berkata, dengan tertangkapnya suspek, polis berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh kurang 24 jam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 9:07 AM