Muhaamad Hafis Nawawi


DUA lelaki yang tidak bekerja ditahan polis semalam selepas hampir sebulan diburu kerana menyamun sebuah kedai serbaneka 24 jam di Transit Aliran Ringan (LRT) USJ 21, Subang Jaya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, suspek berusia 20 tahun itu menyamun wanita berusia 19 tahun yang juga penjaga kedai terbabit pada 9.39 malam 18 Julai lalu.

Menurutnya, mereka yang memakai topi keledar dan bertopeng penuh bersenjatakan pisau mengarahkan mangsa menyerahkan wang di dalam peti wang.

“Suspek juga mengambil rokok dan kad tambah nilai telefon sebelum melarikan diri tanpa mencederakan mangsa.

“Suspek melarikan wang tunai RM250, kad tambah nilai telefon dan rokok membabitkan nilai kerugian RM747,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Risikin berkata, polis yang mengesan suspek menahan mereka 12.30 tengah malam semalam di Jalan Raja, Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

“Turut dirampas telefon bimbit, dua motosikal, dua pasang kasut dan dua topi keledar.

“Barang yang dirampas dipercayai digunakan ketika menyamun kedai serbaneka 24 jam di daerah ini,” katanya.

Beliau berkata, penahanan mereka dapat menyelesaikan beberapa kes samun premis terbabit di daerah itu dan sedang menyiasat jenayah lain dilakukan mereka.

“Suspek direman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Ogos 2019 @ 8:19 AM