RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek lelaki sebelum melakukan kegiatan samun di sebuah stesyen minyak di Kubang Lembu. Gambar kanan,  motosikal yang digunakan suspek. FOTO Ihsan PDRM
RAKAMAN CCTV menunjukkan suspek lelaki sebelum melakukan kegiatan samun di sebuah stesyen minyak di Kubang Lembu. Gambar kanan, motosikal yang digunakan suspek. FOTO Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli

Jitra: Seorang lelaki ditahan polis tidak sampai tiga jam selepas menyamun sebuah stesen minyak di Kubang Lembu, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian 10.40 pagi semalam, suspek berusia 31 tahun itu dikatakan melakukan samun dengan bersenjatakan pisau.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, dalam kejadian itu, suspek dipercayai memakai penutup muka dan pergi ke stesen minyak itu dengan menunggang motosikal.

Beliau berkata, suspek memasuki premis stesen minyak berkenaan dan terus melompat ke kaunter sambil mengacu pisau ke arah mangsa iaitu seorang wanita berusia 33 tahun supaya menyerahkan wang di kaunter premis.

"Ketika itu, rakan sekerja mangsa menjerit meminta bantuan sebaik melihat mangsa diacu pisau.

"Bagaimanapun, suspek melarikan wang dari laci kaunter sebanyak RM900 dan melarikan diri dengan menaiki motosikal," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Ismail berkata, suspek dikatakan tertinggal pisau digunakan kerana terkejut mendengar jeritan rakan mangsa meminta bantuan.

Beliau berkata, berikutan itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu berhubung kejadian itu.

"Berikutan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kubang Pasu berjaya mengesan dan menahan suspek pada 1 tengah hari semalam.

"Kami turut merampas barang kes di sebuah rumah di kawasan Kampung Telok Mukim Binjal, di sini," katanya.

Mohd Ismail berkata, berikutan tangkapan itu, pihaknya berjaya menyelesaikan kes itu dalam tempoh kurang 24 jam.

Beliau berkata, suspek hanya melakukan samun seorang diri dan turut mengaku terbabit dalam kejadian samun bersenjatakan pisau di sebuah kedai serbaneka di Changlun pada malam Selasa lalu.

"Hasil siasatan mendapati, suspek mempunyai rekod lampau jenayah iaitu ugutan jenayah dan dadah dan positif dadah jenis morfin.

"Kami merampas sebuah motosikal Honda Wave, pakaian termasuk baju, seluar dan kasut, topi keledar hitam dan wang tunai RM750.

"Suspek direman bermula hari ini sehingga 13 Januari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2021 @ 6:15 PM