GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Dua pemilik syarikat masing-masing didenda RM100,000 dan RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas tuduhan melakukan pemalsuan dokumen dalam permohonan tender pembersihan pada 2019.

Tertuduh Mohd Rumzan Othman, 68, dan Anuar Abdul Aziz, 39, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa secara berasingan di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Rumzan didakwa secara curang menggunakan dokumen palsu penyata akaun Maybank Islamic milik syarikat MRR Enterprise bagi bulan Oktober hingga Disember 2018 bagi mendapatkan tender projek.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat E-Idaman Sdn Bhd di sini, antara 16 hingga 22 Januari 2019.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Rumzan didakwa secara curang menggunakan dokumen palsu penyata akaun Maybank Islamic milik syarikat Hanna Niaga Enterprise bagi bulan Oktober hingga Disember 2018 dalam permohonan tender pembersihan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma Idaman, Environment Idaman (Kedah & Perlis) pada 19 Januari 2019.

Dalam kertas pertuduhan berasingan, Anuar didakwa secara curang menggunakan dokumen palsu penyata akaun CIMB milik syarikat LJ Maju Sdn Bhd bagi bulan Oktober hingga Disember 2018 dalam permohonan tender pembersihan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Wisma Idaman, Environment Idaman (Kedah & Perlis) pada 21 Januari 2019.

Bagi kesemua pertuduhan itu, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rehab Abdul Shukur, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd Rumzan dalam rayuannya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman ringan berikutan tidak lagi bekerja dan bergantung kepada wang pemberian anaknya bagi menyara kehidupan, manakala Anuar pula masih menyara isteri dan empat anak yang masih kecil.

Harmi kemudian memutuskan kedua-dua tertuduh dijatuhkan hukuman denda RM50,000 bagi setiap pertuduhan atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.

Kedua-dua tertuduh kemudian membayar denda berkenaan di kaunter Kompleks Mahkamah Alor Setar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 1:51 PM