GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil


Nilai: Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) membuka laluan untuk kemasukan khas ke universiti itu melalui Mod B40 iaitu kategori golongan berpendapatan rendah lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di universiti itu.

Pengarah Pusat Pemasaran dan Kemasukan Pelajar Usim, Prof Madya Dr Nurkhamimi Zainuddin berkata, kategori khas itu membabitkan mereka daripada keluarga dengan pendapatan isi rumah bulanan di bawah RM4,850.

Katanya, bagi kemasukan melalui Mod B40 ini, Usim menawarkan sebanyak 29 program pengajian dari tujuh fakulti.

"29 program pengajian itu termasuk enam program dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), tiga program masing-masing dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU) dan Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU).

"Selain itu, lima program dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM), tujuh program dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST), manakala dua program lagi adalah dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, ini adalah inisiatif Usim untuk memastikan pelajar yang layak dan memenuhi syarat mendapat tempat untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Dr Nurkhamimi berkata, peluang kemasukan ini juga memberi peluang kepada pelajar yang tidak mengisi permohonan melalui Unit Pengambilan Universiti (UPU) dalam talian atau tidak berjaya mendapat tawaran di mana-mana Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

"Justeru, mereka boleh memohon untuk masuk ke Usim melalui Mod B40 ini.

"Bagaimanapun, pelajar yang ingin memohon masih perlu untuk mematuhi syarat am dan juga syarat khas kemasukan ke program pengajian yang ditawarkan di Usim.

"Kesemua permohonan adalah secara dalam talian iaitu melalui portal https://eug.usim.edu.my

dengan memuat naik segala dokumen yang diperlukan," katanya.

Katanya, keterangan lanjut boleh diperolehi menerusi laman web https://admission.usim.edu.my/kemasukan-mod-b40 dengan dan tarikh tutup permohonan adalah pada 10 September 2022.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 10:30 AM