DR Mohd Rushdan melihat portal khas yang dibangunkan bagi pemilihan MPP USIM sesi 2020/2021. FOTO Ihsan USIM
DR Mohd Rushdan melihat portal khas yang dibangunkan bagi pemilihan MPP USIM sesi 2020/2021. FOTO Ihsan USIM
Rosyahaida Abdullah

Kuala Lumpur: Sejajar usaha mengadaptasi norma baharu selain memanfaatkan perkembangan teknologi semasa untuk kemudahan warga kampus, buat julung kalinya Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melaksanakan Pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) melalui platform dalam talian (online) secara sepenuhnya pada tahun ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani berkata, proses pemilihan itu dimulakan dengan penamaan calon pada 2 November lalu diikuti kempen maya oleh calon sebelum acara kemuncak iaitu pembuangan undi dibuat esok (Khamis, 26 November).

Menurut beliau, seramai 39 calon menawarkan diri untuk bertanding dalam pemilihan pada tahun ini berbanding hanya 35 pada 2019 dengan 16 daripadanya bertanding merebut Kerusi Umum, manakala 23 lagi mensasarkan Kerusi Fakulti.

"Bagi memastikan semua proses berjalan lancar, sistem undian dalam talian (e-undi) serta platform kempen secara maya diwujudkan di mana kedua-duanya boleh dicapai di laman sesawang khas pilihmpp.usim.edu.my.

"Sistem ini dibangunkan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) dan Jawatankuasa Khas Pemilihan MPP dengan kerjasama Pusat Pembangunan Sistem dan Kejuruteraan (SDEC) USIM," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, menurut beliau, Kerusi Fakulti akan menyaksikan berlakunya pertandingan di empat fakulti iaitu Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Fakulti Pergigian dan Fakulti Kejuruteraan Alam Bina.

Manakala, lima fakulti lagi katanya tiada pertandingan berlaku disebabkan kesemua calon menang tanpa bertanding.

"Fakulti terbabit (tiada pertandingan) adalah Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Fakulti Sains dan Teknologi, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah dan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan," katanya.

Jelas beliau lagi, seramai 10,429 penuntut USIM layak untuk mengundi esok bermula jam 8 pagi hingga 6 petang dan pihak universiti meletakkan sasaran 90 peratus akan melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Meskipun majoriti penuntut kini masih mengikuti sesi kuliah secara dalam talian dari kampung halaman masing-masing, pihak USIM tetap membuka satu pusat pengundian fizikal di dalam kampus.

"Bertempat di Dewan Kuliah Pusat 4, pusat pengundian ini membolehkan penuntut yang tinggal di sekitar kampus dan mempunyai masalah peranti serta talian internet menunaikan tanggungjawab mereka," katanya.

Keputusan rasmi pemilihan MPP USIM dijangka diketahui selewat-lewatnya pada jam 6.30 petang esok yang akan diumumkan oleh Naib Canselor USIM, Prof Dr Mohamed Ridza Wahiddin.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 6:56 PM