NAJIB ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Arkib NSTP/FATHIL ASRI.
NAJIB ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO Arkib NSTP/FATHIL ASRI.
BERNAMA

Putrajaya: Usaha terakhir Datuk Seri Najib Razak untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadap kes rasuah membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta akan diteruskan bulan depan di Mahkamah Persekutuan, seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Perkara itu disahkan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul ketika dihubungi pemberita selepas pengurusan kes dalam talian di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Wan Fatimah Zahara Wan Yusoff dan Siti Hajar Mustaffa.

Selasa lalu dilaporkan Najib memberhentikan dengan serta-merta Tetuan Shafee & Co daripada bertindak sebagai peguam yang mewakilinya dalam rayuan jenayah membabitkan dana SRC International.

Beliau kemudian melantik peguam Hisyam Teh Poh Teik dari Tetuan Hisyam sebagai peguam utamanya, manakala Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam dari Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners sebagai peguam baharunya.

Pada Mei lalu, Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 hari mulai 15 Ogos untuk mendengar rayuan akhir Ahli Parlimen Pekan itu bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara dalam kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Mohd Ashrof berkata mahkamah menolak permohonan pasukan pembelaan baharu Najib untuk menangguhkan prosiding rayuan itu yang dijadualkan selama 10 hari mulai 15 Ogos.

Beliau berkata mahkamah juga mengarahkan supaya prosiding rayuan utama dijalankan secara fizikal dan kedua-dua pihak perlu menyenaraikan semua rujukan kepada rekod rayuan bagi memastikan prosiding di Mahkamah Persekutuan berjalan lancar.

"Hari ini pengurusan kes bagi permohonan bukti baharu yang difailkan oleh peguam Najib sebelum ini daripada Shafee & Co. Kemudian, pindaan kepada usul tersebut untuk bukti baharu.

"Kemudian isu pertukaran peguam untuk rayuan utama. Mahkamah Persekutuan memaklumkan bahawa tarikh yang ditetapkan dari 15 hingga 26 Ogos dikekalkan. Permohonan bukti baharu akan didengar juga pada 15 Ogos bersama-sama rayuan utama," katanya.

Usul untuk bukti baharu merujuk kepada permohonan Najib pada 7 Jun, untuk mengemukakan bukti lanjut kepada Mahkamah Persekutuan bagi membatalkan keseluruhan perbicaraan, atas dakwaan hakim perbicaraan Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali ada kaitan dengan kes membabitkan bekas perdana menteri itu.

Mohd Ashrof berkata firma Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) mahu memohon lanjutan masa untuk memfailkan penghujahan dan akan menulis kepada mahkamah berhubung perkara itu dan pemfailan penghujahan bagi keterangan baharu dibenarkan dilanjutkan sehingga 8 Ogos.

Mengenai isu pertukaran peguam, beliau berkata berkata ZIST menulis surat rasmi pada 26 Julai memohon penangguhan usul membabitkan bukti baharu dan juga rayuan utama.

"ZIST juga akan membuat permohonan sama untuk menangguhkan kedua-dua perkara itu di mahkamah terbuka di Mahkamah Persekutuan pada 15 Ogos," katanya.

Bagi isu permohonan menggunakan khidmat Peguam Diraja, beliau berkata ZIST mengesahkan tiada rayuan difailkan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 21 Julai lalu itu.

Prosiding hari ini turut dihadiri oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram dan peguam baharu Najib - Hisyam, Liew, Rueben serta Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (peguam Najib sebelum ini).

Pada 8 Disember 2021, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun terhadap Najib serta denda RM210 yang dikenakan ke atasnya.

Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, turut menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Mahkamah Persekutuan adalah jalan terakhir Najib untuk merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara dalam kes SRC.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Julai 2022 @ 5:28 PM