Ahmad Johari Mohd Ali


Putrajaya: Peguam Datuk Seri Najib Razak yang gagal menangguhkan rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, tidak boleh dibenarkan mengambil jalan pintu belakang untuk melengahkan prosiding dengan menarik diri daripada mewakili bekas Perdana Menteri itu.

Dengan menyifatkan tindakan peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik ketika rayuan akhir pada 23 Ogos tahun lalu sebagai strategi taktikal, Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram berhujah, alasan untuk menangguhkan rayuan berkenaan adalah tidak munasabah dan tidak kukuh.

Sithambaram berkata, Najib menunjukkan beliau berhasrat untuk menangguhkan rayuan, walau dengan apa cara sekali pun dengan menggunakan alasan melantik peguam baharu, bagaimanapun 'permainan' itu memakan diri sendiri.

Beliau berkata, Mahkamah Persekutuan tidak boleh dipersalahkan kerana enggan menangguhkan pendengaran rayuan berkenaan, dan jelas firma guaman yang baharu dilantik mengambil alih kes dengan tujuan untuk menangguhkan rayuan yang sudah ditetapkan empat bulan sebelumnya.

Katanya, tindakan itu tidak boleh boleh diterima kerana ia bermakna penangguhan sentiasa boleh diminta setiap kali peguam baharu mengambil alih kes di saat pendengaran sudah ditetapkan.

Menurut Sithambaram, Mahkamah Persekutuan menggunakan budi bicaranya untuk tidak membenarkan penangguhan dan firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) yang dilantik Najib sepatutnya tidak menerima kes apabila tarikh perbicaraan sudah ditetapkan melainkan mereka bersedia dengan rayuan.

Sithambaram berkata, Najib hanya boleh menyalahkan diri sendiri apabila gagal mengetepikan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta selepas didapati bersalah menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.

Menurutnya, peguam Najib ketika itu terlampau yakin bahawa permohonan mereka untuk memasukkan bukti baharu berhubung pembabitan keluarga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan menangguhkan prosiding akan dibenarkan mahkamah.

"Mereka tidak ada memikirkan 'Pelan B' jika mahkamah tidak benarkan penangguhan itu. Hisyam dan ZIST mengambil mudah keseluruhan rayuan dengan berpuas hati mereka akan mendapat penangguhan walaupun arahan jelas daripada mahkamah bahawa rayuan utama akan diteruskan.

"Apabila ia tidak berjaya, Najib dan peguamnya buat permohonan supaya Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mengetuai panel daripada mendengar rayuan menarik diri.

"Ini tidak lain, hanyalah satu percubaan terdesak untuk melengahkan pendengaran rayuan," katanya.

Sithambaram berhujah, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan yang betul apabila tidak membenarkan Hisyam menarik diri daripada mewakili Najib selepas mahkamah menolak permohonannya untuk penangguhan.

Beliau berkata, Najib mempunyai masa empat bulan untuk mendapatkan peguam baharu ketika itu dan bersedia dengan kes jika dia benar-benar mahu menukar peguam sedia ada.

Katanya, pemecatan peguam sedia ada, iaitu Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah adalah tindakan yang meragukan untuk memaksa mahkamah menangguhkan rayuan.

Hujahan pendakwaan dalam permohonan semakan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman terhadapnya bersambung petang ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Februari 2023 @ 1:55 PM