Nur Izzati Mohamad

Butterworth: Jenazah lima sekeluarga yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 62 berhampiran Banjaran Titiwangsa, Lebuhraya Timur Barat, Jeli-Gerik dekat Perak petang semalam tiba di Masjid Haji Abdul Rashid, Sungai Dua, di sini, jam 12.56 tengah hari tadi.

Jenazah Mohd Rodhi Othman, 64; Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59; Siti Aishah Mohd Rodhi, 32; Ahmad Khomaini Abu, 32, dan Zara Hana Ahmad Khomaini, 6, dibawa dengan lima van jenazah dari Hospital Gerik.

Kesemua jenazah yang sudah siap dimandikan dan dikafankan itu akan disembahyangkan selepas solat Zuhur sebelum dikebumikan dalam satu liang.

Dalam kejadian jam 3.45 petang semalam, lima sekeluarga yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza maut selepas bertembung dengan pacuan empat roda (4WD) Toyota Hilux.

Kemalangan itu dipercayai berpunca daripada pemandu 4WD yang memandu dari arah Gerik ke Jeli, Kelantan hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan dinaiki lima sekeluarga berkenaan.

Lima sekeluarga berkenaan dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, Perak selepas selesai menghantar ahli keluarga mereka di sebuah pusat pengajian pondok agama di Kota Bharu, Kelantan

AHLI keluarga dan rakan-rakan menziarahi serta melihat buat kali terakhir jenazah di Masjid Jamek Haji Abdul Rashid, Sungai Dua, FOTO Danial Saad
AHLI keluarga dan rakan-rakan menziarahi serta melihat buat kali terakhir jenazah di Masjid Jamek Haji Abdul Rashid, Sungai Dua, FOTO Danial Saad

Berita berkaitan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Julai 2022 @ 2:05 PM