GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
GAMBAR hiasan. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Kota Kinabalu: Seramai 2,025 usahawan kraf Sabah menerima insentif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) Industri Kraf bertujuan mengukuhkan semula perniagaan mereka yang terkesan akibat Covid-19.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata insentif bantuan kewangan sekali bayar berjumlah RM1,500 setiap usahawan itu juga diharap dapat merancakkan semula industri kraf negara.

"Inisiatif berkenaan bermula pada April lalu dan dijangka memberi manfaat kepada 6,000 usahawan kraf seluruh negara," katanya dalam kenyataan sempena penyerahan insentif itu di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia di Inanam di sini hari ini.

Sementara itu, Nancy ketika bercakap kepada pemberita selepas majlis itu berkata pemberian insentif itu juga sebagai langkah untuk memastikan usahawan kraf terus berkembang sekali gus membantu meningkatkan ekonomi negara terutama sektor kraf tangan dan pelancongan.

"Selama ini kita bantu usahawan kraf dengan cara memberi alat dan membina bengkel, tetapi kali ini kita beri bantuan sekali bayar RM1,500 dan kita berharap mereka berkembang maju dengan menghasilkan lebih banyak produk kraf," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata selain kraf tangan pihaknya kini sedang giat membangunkan pelancongan berkonsepkan gastronomi atau lebih dikenali sebagai 'makan-makan' oleh masyarakat tempatan di negeri ini susulan pembukaan semula sempadan negara.

"Tourism Malaysia giat melaksanakan aktiviti (pelancongan) baharu termasuk pelancongan gastronomi kerana Sabah mempunyai keistimewaan terutama makanan lautnya antara yang terbaik di negara ini, selain aktiviti memerhati burung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 2:35 PM