Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Sebuah syarikat peleburan aluminium didenda RM36,000 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan termasuk membina sistem kawalan pencemaran udara tanpa kebenaran Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling dan melanggar arahan penahanan operasi kelengkapan (POK) pada September 2021.

Hakim Nariman Badruddin memutuskan hukuman itu selepas menimbangkan rayuan syarikat, Trimax Metal Sdn Bhd selaku orang kena saman (OKS), hujah Pegawai Pendakwa Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta keseluruhan fakta kes.

Mengikut pertuduhan pertama, syarikat berkenaan didapati membina sistem kawalan pencemaran udara iaitu masing-masing satu unit Aluminium Separator, Magnetic Separator dan Cooling Section yang digunakan di premis itu bagi mengawal pencemaran udara daripada proses peleburan aluminium aloi sekunder tanpa pemberitahuan kepada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling (KAS).

Kesalahan itu dituduh mengikut Peraturan 5 (1) (b) Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 dan boleh dihukum mengikut Peraturan 29 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 5 (1) (d) peraturan sama, OKS turut didapati membuat perubahan Alat Pembakaran Bahan Api iaitu satu unit Relau Peleburan Aluminium dan dua Relau Holding yang digunakan bagi peleburan aloi sekunder dan menyebabkan perubahan material dalam kuantiti pengeluaran daripada satu punca sedia ada tanpa pemberitahuan bertulis kepada pihak sama.

Trimax Metal seterusnya didakwa mengganggu arahan POK mengikut Seksyen 38 (1) (c) Akta Kualiti Alam Sekeliling (AKAS) 1974 (Akta 127) bertarikh 15 Julai 2021 yang dikeluarkan bagi Alat Pembakaran Bahan Api iaitu seunit Relau Peleburan Aluminium dan dua Relau Holding yang digunakan di premis itu.

WAKIL syarikat Trimax Metal Sdn Bhd, Lee Chew Fong (Kiri) diiringi pegawai pendakwa JAS (blazer hitam) membayar denda RM36,000. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
WAKIL syarikat Trimax Metal Sdn Bhd, Lee Chew Fong (Kiri) diiringi pegawai pendakwa JAS (blazer hitam) membayar denda RM36,000. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.

Syarikat didapati melakukan kesalahan Seksyen 48AD (b) jika disabitkan boleh didenda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di premis syarikat berkenaan di No 12, Jalan TTC 8, Taman Teknologi Cheng, pada 14 September 2021 antara jam 11 pagi hingga 12.20 tengah hari.

Mengikut fakta kes, Penolong Jurutera, Mohd Noor Hakim Ibrahim, Penolong Pegawai Kawalan Kanan Alam Sekitar, Azeni Abd Rahman dan Pegawai Kawalan, Asmahani Ab Manan melakukan pemeriksaan di premis pada tarikh kejadian dan mendapati ia beroperasi semula dengan mengganggu POK iaitu menebuk kotak panel suis dan memotong dawai kunci.

Syarikat itu juga melakukan kesalahan berulang kerana gagal mengemukakan perakuan perisytiharan bertulis bagi sistem kawalan pencemaran udara.

Pihak pendakwaan yang diwakili Pegawai Pendakwa JAS Nosora Mohd Jadi memohon hukuman setimpal dikenakan mengambil kira ia kesalahan berulang apabila premis pernah didenda dua kali sebelum ini serta kedegilan OKS yang mengganggu arahan POK.

Syarikat itu yang diwakili pegawai sumber manusianya, Lee Chew Fong, 42, memohon hukuman denda ringan kerana syarikat sudah menghentikan operasi dan dalam perancangan untuk ditutup sepenuhnya.

Nariman dalam penghakimannya mengingatkan OKS supaya tidak mengulangi kesalahan dan menjatuhkan hukuman denda RM14,000 bagi pertuduhan pertama atau empat bulan penjara jika gagal membayar dan RM8,000 atau dua bulan penjara bagi pertuduhan ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Julai 2022 @ 4:36 PM