Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Syarikat penyelenggara Tapak Pelupusan Sisa Pepejal Sanitari Sungai Udang (TPSPSSU) didenda RM90,000 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini atas enam tuduhan berkaitan pembuangan larut resapan hingga mencemarkan sungai, tahun lalu.

Hakim Darmafikri Abu Adam membuat keputusan itu selepas syarikat Greenviro Solutions Sdn Bhd selaku orang kena saman (PKS) yang diwakili Pengarah Urusannya, Datuk Syamshuar Husin, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Beliau menimbangkan rayuan syarikat itu, fakta kes dan hujah pendakwaan dalam memutuskan hukuman denda RM15,000 bagi setiap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga keempat, syarikat itu didapati membuang larut resapan mengandungi kepekatan melebihi had ditetapkan dalam Jadual Kedua, Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kawalan Pencemaran Daripada Stesen Pemindahan Sisa Pepejal dan Kambus Tanah) 2009, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) ke perairan daratan.

Bagi pertuduhan kelima dan keenam, syarikat itu didapati membuang atau melepaskan atau menyebabkan larut resapan melalui pintasan ke dalam perairan pedalaman serta gagal memaklumkan dengan segera dan tidak melebihi enam jam daripada waktu kejadian pembuangan atau kebocoran mana-mana larut resapan yang memasuki perairan pedalaman kepada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Semua kesalahan itu dilakukan di TPSPSSU pada 20 Julai 2022, antara jam 12.50 tengah hari hingga 2.30 petang.

PASUKAN Hazmat JBPM Johor  membuat tugas pengesanan dan mengambil sampel bersama pegawai JAS. FOTO Ihsan Bomba
PASUKAN Hazmat JBPM Johor membuat tugas pengesanan dan mengambil sampel bersama pegawai JAS. FOTO Ihsan Bomba

Jika disabitkan membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa JAS, Norsora Mohd Jadi berhujah bahawa kandungan BOD, nitrogen ammonia, pepejal terampai dan logam besi itu mempunyai kepekatan yang tinggi, iaitu melebihi 100 peratus daripada piawaian dibenarkan.

"OKS gagal memastikan pengepungan dan pelepasan air larut resapan di tapak pelupusan itu dirawat terlebih dahulu oleh sistem OKS sebelum memasuki mana-mana perairan daratan.

"Dalam kes ini air larut resapan memasuki dan mencemarkan Sungai Batu yang menjadi punca air bagi penanaman padi, pisang dan ubi keledek hingga menjejaskan pendapatan penduduk kampung terbabit dan kes turut mendapat liputan meluas media," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 April 2023 @ 5:34 PM