SEBUAH kilang pembuatan diarahkan berhenti beroperasi selapas didapati menyebabkan pencemaran bau di Pasir Gudang. FOTO ihsan JAS
SEBUAH kilang pembuatan diarahkan berhenti beroperasi selapas didapati menyebabkan pencemaran bau di Pasir Gudang. FOTO ihsan JAS
Mary Victoria Dass


Pasir Gudang: Sebuah kilang pembuatan diarahkan untuk berhenti beroperasi selepas didapati melepaskan air buangan dengan suhu tinggi ke longkang, di sini, kelmarin.

Jurucakap Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkata, premis berkenaan diarahkan untuk memberhentikan kerja-kerja penyelenggaraan alat pembakaran bahan api ketika pemeriksaan penguatkuasaan dilakukan.

Menurutnya, kegiatan mereka didapati menyebabkan pencemaran udara yang ketara ke kawasan sekitar.

"Premis itu didapati gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009 dan Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014.

"Tindakan diambil segera dengan mengenakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) mengikut Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 ke atas alat pembakaran bahan api bagi menghentikan pencemaran serta-merta.

"Arahan dikeluarkan supaya tindakan pembaikan diambil dalam tempoh POK berkenaan," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Katanya, semua premis industri diingatkan sentiasa mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

"Tindakan tegas akan diambil sekiranya berlaku kesalahan mencemarkan alam sekitar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Julai 2023 @ 3:46 PM